Pilih Bahasa

Usahawan PKS disaran manfaat aplikasi digital

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Darell (dua dari kanan) dan Marc (kanan) beramah mesra bersama salah seorang usahawan yang hadir pada program Grow with Google di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Usahawan negeri ini diminta memanfaatkan aplikasi digital ditawarkan Google dalam usaha  mengembangkan perniagaan bagi  pasaran lebih luas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata aplikasi percuma disediakan syarikat terkemuka itu dilihat mampu berpotensi memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Darell berkata menerusi inisiatif ekonomi digital itu juga sekaligus mampu membantu peniaga atau usahawan memperoleh pendapatan lebih besar.

Darell (kiri) menerima cenderamata daripada Marc (kanan) sempena Pelancaran program Grow with Google di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Google Malaysia

“Kita sentiasa mengalu-alukan usaha yang mahu dilaksanakan pelbagai pihak termasuklah Google yang membantu usahawan di negeri ini meningkatkan pendapatan berikutan ia sejajar dengan komitmen kerajaan mahu memajukan ekonomi digital negara.

“Penggunaan teknologi dalam perniagaan akan lebih memudahkan sesebuah perniagaan berkembang maju disebabkan usahawan boleh mencari pelanggan serta pasaran baru selain mampu meningkatkan jualan dan menambah produktiviti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Grow With Google di sini hari ini.

Disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada usahawan PKS daripada Sabah dan Sarawak yang berminat meningkatkan kemahiran digital masing-maisng.

Turut hadir pada program itu Ketua Negara Goole Malaysia, Marc Woo.

Dalam pada itu Darell berkata penggunaan teknologi digital haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin agar ekonomi negara dapat terus dipacu ke peringkat tertinggi.

Katanya berdasarkan statistik SME Corp Malaysia usahawan PKS menyumbang 98.5 peratus pertumbuhan perniagaan selain turut membuka peluang pekerjaan sebanyak 66 peratus dan 37 peratus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bagaimanapun beliau berkata masih ada yang perlu diperbaiki termasuk menggalakkan pertumbuhan jumlah ekport PKS memandangkan industri itu menyumbang kurang daripada 20 peratus nilai ekport negara. – SabahNewsToday