Pilih Bahasa

Saringan kelayakan Piala Dunia Tarian berlangsung dua hari di JKKNS

KOTA KINABALU: Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (Tobisa) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah mengalu-alukan kehadiran orang ramai menyaksikan saringan kelayakan Piala Dunia Tarian peringkat Malaysia di Dewan Auditorium JKKNS selama dua hari bermula hari ini.

Presiden Tobisa, Muji NC Ampau berkata sebanyak 37 kumpulan yang terdiri dari 330 penari akan disaring untuk mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Piala Dunia Tarian yang akan diadakan di Rom, Itali pada Jun depan.

Muji NC Ampau. Gambar Fail SNT

Kumpulan yang menyertai pemilihan terdiri dari 21 pasukan kategori sekolah dan 16 pasukan tarian persatuan bukan kerajaan dan bebas.

Program tersebut dirasmikan oleh Tan Sri Hajah Norliza Rofli, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Tambah Muji ini adalah peluang kepada penggiat kebudayaan dan kesenian untuk mengukir nama di persada antarabangsa sekaligus mengiktiraf kebolehan dan bakat masing-masing.

Kata Muji seramai 100 penari akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke pentas dunia dan beliau akui ia menjadi cabaran disebabkan penyertaan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Penyertaan datang dari seluruh negara seperti Selangor dan Sarawak.

Tahun lepas Malaysia telah berjaya memahat nama dengan meraih 3 emas, 1 perak dan 3 gansa melalui kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa di Portugal.

Sejak dari tahun 2014 Tobisa aktif menyertai pertandingan Piala Dunia Tarian dan meraih kejayaan yang membanggakan Malaysia.-SabahNewsToday