Pilih Bahasa

SAS isytihar pengagihan pendapatan interim pertama RM2.40 seunit bagi 2019

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan perolehan pendapatan kasar Saham Amanah Sabah (SAS) sejumlah RM36.017 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jumlah berkenaan adalah hasil sepanjang tahun sehingga 6 September tahun ini.

Mohd Shafie bersama dengan ahli lembaga pengarah SSB selepas kunjungan hormat tersebut. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Selaras dengan pencapaian ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Pengagihan Pendapatan Interim Pertama SAS untuk 2019 pada kadar 2.40 peratus atau 2.40 sen seunit bersih.

“Jumlah ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 7.41 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih SAS pada 2 Januari 2019 iaitu RM0.3240 dengan membabitkan pembayaran wang tunai sejumlah RM29.552 juta bersih berdasarkan kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh para pelabur sebanyak 1,231,374,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat Lembaga Pengarah Saham Sabah Berhad (SSB) diketuai oleh Pengerusi Datuk Marcus Mojigoh di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Mohd Shafie menjelaskan pendapatan berkenaan diperoleh daripada pelaburan SAS dalam pasaran saham sebanyak 77.6 peratus, 14.04 peratus melalui penerimaan dividen dan 8.36 peratus daripada pasaran kewangan.

“Prestasi positif ini tercapai disebabkan oleh pengurusan kewangan yang berhemah dan mengamalkan strategi pelaburan yang betul.

“Walaupun persekitaran pelaburan yang mencabar dengan pertumbuhan sederhana serta prestasi pasaran global dan domestik yang terjejas, kerajaan berpuas hati kerana dapat terus mengekalkan pulangan kepada pemegang unit SAS.

“Pengagihan Pendapatan interim ini akan dibayar kepada 50,264 pelabur terdiri daripada 42,746 (85.04 peratus) pelabur individu, 7,317 (14.56 peratus) pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), 151 (0.30 peratus) adalah pelabur melalui pinjaman bank dan 50 (0.10 leratus) pelabur korporat,” jelasnya.

Beliau percaya pencapaian tersebut adalah satu langkah yang cukup baik bagi SAS dapat mentadbir urus dengan baik saham pada masa akan datang. -SabahNewsToday