Pilih Bahasa

Sasar 10 buah kampung dimajukan dalam sektor pelancongan komuniti

Jamawi (tengah) bersama para peserta yang menyertai kursus dan lawatan tersebut. – Gambar SNT/Ihsan media Dun Kemabong

KEMABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini Jamawi Jaafar mensasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 10 buah kampung dapat ditonjolkan sebagai pusat pelancongan komuniti .

Katanya, setakat ini dua buah kampung sudah mula dikenali dalam kalangan pelancong dalam dan luar negeri  sebagai pusat pelancongan komuniti iaitu Marais Center di kampung Marais dan Rundum Highlands di kampung Rundum.

“Kejayaan dua buah kampung ini akan dijadikan contoh untuk memperhebatkan lagi usaha membangunkan  beberapa buah kampung di daerah ini yang berpotensi sebagai pusat pelancongan komuniti.

“Kriteria pemilihan berdasarkan kepada sumber alam dan budaya yang ada di kampung berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kursus dan lawatan sambil belajar majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Marais Centra, di sini semalam.

Menurut Jamawi bagi membangunkan kawasan Kemabong bukan sahaja dari keutamaan kepada  pembangunan insfrastrukturnya, namun pembangunan modal insan juga turut diberikan perhatian agar nikmat kemajuan dapat dikongsi bersama oleh rakyat khususnya dalam menjana taraf siso ekonomi mereka seharian .

Jamawi berkata pelancongan dan pertanian adalah antara dua sektor yang berdaya maju diusahakan di kawasan itu justeru beliau berharap rakyat dapat berfikiran kreatif dan berinovasi bagi merebut peluang yang ada.

Ketika mengulas program tersebut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata kursus dan lawatan tersebut melibatkan dua fasa dan disertai sebanyak 58 MPKK di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemabong.

“Selain memantapkan kepimpinan MPKK di kawasan ini saya berharap kursus ini memberikan ruang kepada mereka untuk bertukar tukar fikiran untuk memajukan kampung masing masing,” katanya. – SabahNewsToday