Pilih Bahasa

Sasar lebih banyak penglibatan negara luar promosi kebudayaan Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) mahu menarik lebih banyak penglibatan negara luar menyertai Tugu Budaya Etnik Sabah tahun ini.

Pengerusi LKNS, Ismaily Bungsu berkata pihaknya setakat ini baru menerima pengesahan membabitkan 10 penyertaan dan enam negara yang mahu mengikuti festival berkenaan.

Pengerusi LKNS, Ismaily Bungsu ketika ditemui selepas Pelancaran Tugu Budaya Etnik Sabah Ke 10 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Beliau berkata antara negara terbabit termasuklah Indonesia, Filipina, India dan Izbekistan.

“Kita akan melaksanakan langkah promosi lebih agresif selepas ini agar dapat menarik pelbagai pihak untuk turut serta dalam festival kebudayaan ini.

“Penglibatan pelbagai negara membolehkan kita saling bertukar pengetahuan dan budaya antara satu sama lain.

“Selain itu, secara tidak langsung kita dapat memperlihatkan kepelbagaian etnik serta budaya ada di negara ini khususnya Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas Pelancaran Tugu Budaya Etnik Sabah Ke 10, di sini, hari ini.

Acara pelancaran disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, William Baya dan Pengurus Besar LKNS, Mansur Asun.

Memasuki penganjuran kali ke 10, festival berkenaan bakal berlangsung bermula 9 sehingga 13 Julai hadapan. -SabahNews Today