Pilih Bahasa

Sasar lebih ramai fahami ilmu berkaitan kewangan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Bank Negara melalui Muzium Bank Negara mensasarkan lebih ramai masyarakat di negeri ini khususnya golongan muda memahami ilmu  kewangan dalam usaha meningkatkan kesedaran berkaitan bidang berkenaan.

Eksekutif Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, Mohd Faiz Naim Hassan berkata sasaran berkenaan adalah antara objektif utama pihaknya sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019.

Mohd Faiz Naim (kanan) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang pengunjung yang menyertai aktiviti di gerai pameran Muzium Bank Negara sempena Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Muzium Bank Negara

Mohd Faiz Naim berkata pelbagai aktiviti menarik dianjurkan Muzium Bank Negara sepanjang acara sambutan terbabit yang bersesuaian semua pringkat umur seawal kanak-kanak hingga dewasa.

Beliau berkata antara aktiviti termasuklah poket talk, kuiz jenga, kenali wang anda, kuiz bersama si kijang, jom buat tabung, pertandingan mewarna dan bicara berirama celik wang.

Mohd Faiz Naim (kiri) menunjukkan ciri keselamatan terdapat pada duit Malaysia dalam ruangan khas di salah satu sudut gerai pameran Muzium Bank Negara di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kita juga mengetengahkan beberapa tajuk penting dalam aktiviti poket talk seperti jenayah kewangan, pengurusan kewangan, link dan anda, aktiviti kenali wang anda serta sejak bilakah ringgit digunakan.

“Selain itu, kita juga menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kampung Benoni, Papar untuk menyalurkan maklumat mengenai kewangan kepada penduduk setempat di sana.

“Secara keseluruhannya, semua aktiviti adalah berasaskan pendidikan kewangan dan kita mahu ia memberi impak kepada pengunjung yang hadir ke pameran ini. Mereka bukan sahaja datang melawat, melihat pameran terdapat di gerai pameran malahan boleh menyertai beberapa program lain disediakan Muzium Bank Negara yang boleh memberikan ilmu tambahan kepada pengunjung.

Aktiviti mewarna untuk kanak-kanak yang diadakan oleh Muzium Bank Negara sempena Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Muzium Bank Negara

“Kita sedar mungkin masih ramai individu kurang memahami perkara berkaitrapat dengan kewangan, langkah boleh diambil apabila berhadapan jenayah kewangan malahan hak individu itu sendiri apabila berkaitan isu kewangan. Mereka boleh datang ke sini untuk dapatkan khidmat nasihat serta langkah penyelesaian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bertemakan muzium sebagai hab kebudayaan kelangsungan tradisi, Hari Muzium Negara Peringkat Kebangsaan 2019 berlangsung diperkarangan Muzium Sabah bermula 14 sehingga 20 Julai.

Memasuki penganjuran kali ke 23, terdapat hampir 30 muzium seluruh negara menyertai acara tahunan itu dengan mempamerkan pelbagai barangan menarik untuk dilawati. -SabahNews Today