Pilih Bahasa

SASARAN SIFAR LAPORAN DISIPLIN PELAJAR HARUS DICAPAI: HABIBI

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tiga kanan) menerima cenderahati daripada Pengetua Maktab Sabah Nuinda Alias selepas program ‘Back to School’ 2019 di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pihak polis daerah ini akan memastikan tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak sekolah berhubung masalah disiplin pelajar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sepanjang tahun lepas sebanyak tujuh laporan polis dibuat berkaitan masalah disiplin pelajar di sekolah.

“Meskipun jumlah laporan sedikit dan tidak membimbangkan, pihak kita akan memastikan sasaran sifar laporan polis berhubung masalah disiplin pelajar ini tercapai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berucap pada program ‘Back to School’ 2019 di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pendekatan yang diambil untuk mencapai sasaran ini termasuklah memastikan pegawai polis agar sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bagi mendapatkan perkembangan disiplin pelajar untuk memastikan tiada laporan polis dibuat sepanjang tahun ini dan tahun berikutnya,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Program ‘Back to School’ pada hari pertama sesi persekolahan 2019 di Maktab Sabah, pagi tadi.

Menurut Habibi, sasaran ini akan tercapai dengan kerjasama diantara pihak sekolah dan PDRM demi kesejahteraan dan keamanan dalam pendidikan pelajar dan warga pendidik di sekolah.

Maktab Sabah dipilih menjadi tuan rumah di daerah ini bagi program ‘Back to School’ 2019 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (kanan) berbual dengan pelajar sambil diperhatikan Pengetua Maktab Sabah Nuinda Alias (dua kanan) pada program ‘Back to School’ 2019 di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pemilihan sekolah Maktab Sabah sebagai tuan rumah program tahunan ini adalah berdasarkan rekod sekolah ini yang tidak pernah mempunyai sebarang laporan polis berhubung masalah disiplin pelajar dan keselamatan di sekolah dibuat sejak 10 tahun yang lepas.

Pengetua Maktab Sabah Datin Nuinda Alias berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih dengan pihak IPD Kota Kinabalu yang menjadikan sekolah ini menjadi tuan rumah bagi program tahunan kali ini.

“Pemilihan ini juga merupakan salah satu motivasi terbaik buat kami di tahun baharu kerana ia menjadi satu gambaran terbaik kerjasama pihak sekolah dengan agensi luar seperti polis.

“Ini juga satu penghargaan besar buat warga Maktab Sabah dan akan bekerjasama dengan lebih erat lagi dengan pihak polis dalam menjamin kesejahteraan dan keselamatan di sekolah,” katanya.

Program tahunan ini diadakan di 28 buah sekolah menengah dan 56 sekolah rendah lain dibawah pentadbiran IPD Kota Kinabalu yang dijalankan serentak pada hari pertama sesi persekolahan tahun ini. -SabahNewsToday