Pilih Bahasa

Satta bimbang Levi Pelepasan beri impak negatif kepada sektor pelancongan Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta) bimbang pelaksanaan Levi Pelepasan pada 1 September ini akan membantutkan perkembangan industri pelancongan negeri ini.

Presiden Satta Datuk Seri Winston Liaw berkata pendapatan daripada levi terbaharu tersebut dijangka tidak sebegitu signifikan berbanding impak kepada industri itu sendiri.

Datuk Seri Winston Liaw. Gambar Fail SNT

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Liaw berkata Satta bimbang bahawa ‘tekanan tambahan’ terhadap para pelancong dalam bentuk levi ini akan menawarkan hati mereka datang melawat Sabah.

Beliau mengakui beberapa negara Asean juga menggenakan levi pelepasan namun katanya negara-negara tersebut yang terkenal dengan produk pelancongan tersendiri sejak dahulu lagi telah lama menguatkuasakan cukai tersebut.

Pelancong dari negara China juga sedang mengalami sedikit penurunan ekonomi berikutan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar negara mereka, katanya.

“Ini membuat pelancong dari negara China lebih was was dengan cara mereka membelanjakan wang,” ujar Liaw.

Satta menyokong penuh keperihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengenai impak levi tersebut terhadap sektor pelancongan Sabah.

Dalam pada itu, Liaw berkata Satta berharap agar Kerajaan Persekutuan akan mengecualikan Sabah dari pelaksanaan Levi Pelepasan.

Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 diluluskan di Parlimen pada 10 April untuk dilaksanakan pada 1 Jun sebelum ditangguhkan ke 1 September.

Levi Pelepasan akan dikenakan kepada semua penumpang kapal terbang keluar negara.

Kadar yang dikenakan bergantung kepada destinasi dan klas penerbangan.

Bagi mereka yang keluar negara menuju ke negara-negara Asean, mereka dikehendaki membayar RM8 sekiranya menaiki klas ekonomi atau RM50 bagi klas bukan ekonomi.

Untuk mereka yang menuju destinasi selain negara Asean akan dikenakan RM20 untuk klas ekonomi dan RM120 bagi klas bukan ekonomi.-SabahNewsToday