Pilih Bahasa

Satu hati, satu visi tidak mustahil capai kejayaan: Kurniawan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih baharu Tambadau, Kurniawan Dwi Yulianto percaya Sabah boleh maju kehadapan sekiranya pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain bekerja dengan satu hati dan visi.

Presiden Safa Datuk Peter Anthony (kanan) menyerahkan dokumen pelantikan kepada Kurniawan (kiri) sementara diperhatikan oleh Jelius Ating (tengah). Gambar SNT/Chris Maskilone

Kurniawan, 43 mengakui banyak mengikuti perkembangan liga bola sepak Malaysia apa lagi isterinya adalah orang Sarawak.

“Cuti saya selalu dihabiskan di sini. Bahkan saya juga banyak kenal coach yang ada di Malaysia.

“Dari segi kualiti tidak banyak beza dengan Indonesia cuma bagaimana membangun sebuah pasukan, kita harus bisa bekerja satu hati satu visi dengan pemain, insyallah kita akan diberikan jalan ke depan,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar pengumuman kedatangannya ke Sabah oleh Presiden Safa Datuk Peter Anthony hari ini.

Menjawat pembantu jurulatih pasukan bola sepak Sea Games Indonesia baru-baru ini, Kurniawan mengucapkan terima kasih kepada Safa atas kepercayaan kepada beliau untuk mengendali pasukan Sabah dalam saingan Liga Super nanti.

Kurniawan akan dibantu oleh ketua jurulatih musim lalu Jelius Ating dan juga Burhan Ajui bersama pasukan jurulatih yang lain.

“Setakat ini, saya berasa selesa kerana kedatangan saya disambut baik oleh pihak pengurusan Safa dan juga rakan-rakan coaching staff,” katanya.

Kurniawan memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak pasukan junior Sampdoria di Italy pada tahun 1994, kemudian di Switzerland bersama FC Luzern.

Beliau kembali ke Indonesia pada 1995 dan pada musim 2005/2006 bermain untuk pasukan Sarawak.

Bermain di posisi penyerang, Kurniawan atau nama gelarannya Kurus merupakan penjaring prolifik Indonesia yang telah menghasilkan 31 gol dalam 60 penampilan antarabangsa, kedua terbanyak selepas Bambang Pamungkas. -SabahNewsToday