Pilih Bahasa

SATU MASJID SATU POLIS CEGAH JENAYAH DI RUMAH IBADAT

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 664 buah masjid berada di bawah seliaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri ini dalam usaha mencegah aktiviti jenayah di kawasan rumah ibadat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata jaringan kerjasama antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan rumah ibadat seperti masjid bukan menandakan kadar jenayah di sesebuah masjid berkenaan tinggi tetapi ia lebih kepada langkah pencegahan awal.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Saifulzaman Sangul (dua dari kiri) bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (dua dari kanan) menandatangani penyataan kerjasama (MOU) antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan JHEAINS sempena Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Zaini berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang lapor berkaitan aktiviti jenayah serius berlaku dalam lokasi masjid.

“Kita meletakkan seorang pegawai perhubungan terdiri dalam kalangan anggota polis sendiri di setiap masjid bawah seliaan PDRM.

“Setiap pegawai ini akan bertemu pihak masjid sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membincangkan pelbagai perkara terutamanya berkaitan keselamatan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Saifulzaman Sangul (tiga dari kiri) bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tiga dari kanan) salung bertukar penyataan kerjasama (MOU) antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan JHEAINS sempena Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Acara dirasmikan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

Dalam pada itu, Zaini berkata PDRM Sabah mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, program seumpama itu adalah satu langkah proaktif pihaknya untuk turun padang bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti keagamaan bertepatan dengan motto “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan pegawai perhubungan masjid (PPM) kepada salah seorang ketua polis daerah sempena Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kita berharap kolaborasi ini dapat mengekang kegiatan jenayah di kawasan masjid sekaligus menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pengunjung rumah ibadat.

“Bagaimanapun, kita tetap mengharapkan bantuan seluruh masyarat setempat bagi menyalurkan sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Aidi berkata pihaknya meminta PDRM Sabah agar menambah jumlah pegawai perhubungan masjid dari semasa ke semasa berikutan jumlah masjid kariah yang semakin bertambah.

Beliau berkata jumlah masjid kariah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) setakat ini adalah sebanyak 1009 buah di seluruh negeri.

“Jumlah ini tidak termasuk masjid institusi pengajian tinggi, sekolah, pertubuhan dan swasta yang dianggarkan kira-kira 65 buah.

“Penempatan ini amat perlu memandangkan kedudukan serta persekitaran masjid sering terdedah dengan ancaman jenayah khususnya jenayah harta benda,” katanya. –SabahNews Today