Pilih Bahasa

Saya berpuas hati dengan prestasi menteri Persekutuan dari Sabah: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpuas hati dengan prestasi Menteri-menteri Persekutuan dari Sabah dalam melaksanakan tugas mereka termasuk dalam membawakan isu-isu berkaitan negeri ini di peringkat atasan.

“Sebagai Menteri Persekutuan, keutamaan mereka adalah negara ini tetapi ia perkara biasa apabila mereka menyatakan isu-isu berkaitan Sabah dan kawasan mereka semasa mesyuarat Kabinet.

Mohd Shafie (empat dari kanan) dan jemaah menteri yang hadir serta para tetamu menyertai acara bacaan ikrar. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Walaupun mereka ada tugas lebih besar di peringkat Persekutuan tetapi saya melihat perkara yang mereka bangkitkan itu juga releven dengan kepentingan negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi menteri dari Sabah yang menyandang jawatan di peringkat Persekutuan.

Ketibaa Mohd Shafie (tengah) disambut meriah para hadirin pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Sabah mempunyai tiga wakil yang dilantik iaitu Menteri Perdagangan dan Industri, Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang; Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (Parlimen Silam) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk VK Liew.

Mohd Shafie berkata walaupun terdapat beberapa lagi platform yang boleh digunakan untuk menyuarakan isu berkaitan negeri ini namun sebagai Ahli Parlimen mereka juga berhak menyatakan soal rakyat ke peringkat lebih tinggi.

“Begitu juga dengan hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita selalu mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Persembahan menarik daripada askar Wataniah mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Tetapi saya tidak mahu bincang isu itu di sini kerana ia masih dalam peringkat perbincangan, namun saya berharap ia akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat dan ia dapat diumumkan menjelang sambutan (Hari Kebangsaan) akan datang,” katanya. – SabahNewsToday