Pilih Bahasa

Saya doakan ayah masuk syurga

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Saya doakan ayah masuk syurga dan semoga segala kebaikannya di dunia ini diterima Allah.

“Walaupun tidak berpeluang melihat wajah ayah buat kali terakhir, saya yakin dengan tentuan-Nya.

Muhammad Ziyad Abdul Wahid reda dengan pemergian ayah yang merupakan salah satu mangsa COVID-19 di negeri ini ketika ditemui sebaik tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya reda dengan pemergian ayah kerana yakin segalanya pasti ada hikmah,” kata pelajar Madrasah Miftahul Ulum Bandar Baru Sri Petaling, Muhammad Ziyad Abdul Wahid, 23.

Ditemui di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sejurus tiba menaiki penerbangan ihsan menggunakan pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Muhammad Ziyad berkata dirinya ketika itu masih menjalani kuarantin selama 14 hari di Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Jalan Duta bermula 25 Mac sehingga 18 April.

Seramai 24 pelajar berasal dari Sabah diterbangkan pulang menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 22 Skuadron tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. Daripada jumlah itu, 13 pelajar merupakan tahfiz di Madrasah Mitahul Ulum, Sri Petaling dan di Pusat Pengajian Tahfiz Raudhatu Ulum, Banting, Selangor. Manakala selebihnya pelajar yang menuntut di Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati dan Universitas Advent Indonesia di Bandung. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Muhammad Ziyad, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas keluarga di Kota Kinabalu memaklumkan keadaan arwah ayahnya sudah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Sedih dan terkilan itu tetap ada kerana ibu bapa adalah insan yang paling kita sayang di dunia ini tetapi walau apapun yang berlaku, saya pasti ada hikmah terbaik buat saya dan keluarga.

Saringan suhu badan dilakukan terhadap semua pelajar sebaik tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun, saya bersyukur akhirnya dapat kembali ke Sabah dan bertemu ibu serta adik-beradik lain,” katanya berasal daripada Kampung Tanjung Aru Lama.

Arwah bapa Muhammad Ziyad, Abdul Wahid Mohd Ali meninggal dunia pada 10 April lalu berikutan jangkitan wabak Covid-19.

Kegembiraan terpancar dari raut wajah seorang pelajar yang dibawa pulang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8. 20 pagi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), arwah bapanya adalah kes kematian ketiga akibat Covid-19 yang direkodkan di Sabah.

Terdahulu, seramai 24 pelajar asal negeri ini yang terjejas berikutan Covid-19 di Semenanjung dan Indonesia selamat tiba di terminal dua KKIA sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Menerusi jumlah itu, tujuh orang adalah pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling, enam pelajar Pengajian Tahfiz Raudhatu Ulum, Banting manakala 11 orang ialah penuntut daripada Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Jati, Bandung dan Universitas Advent Indonesia.

Gelagat seorang pelajar semasa proses disinfeksi dilakukan oleh anggota TUDM sebaik tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Penerbangan sama turut membawa beberapa peralatan perubatan bagi kegunaan hospital di Sabah termasuklah penutup mulut dan hidung serta peralatan perlindungan diri (PPE).

Proses disinfeksi dilakukan oleh anggota TUDM terhadap kesemua pelajar yang berasal dari Sabah sebaik tiba di Termibal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesawat diterbangkan oleh Mejar Tengku Syed Muhd Amin Tengku Syed Abd Rahman dan Kapten Wan Ubaidullah Wan Hanapi selaku pembantu juruterbang.

Turut bersama dalam penerbangan berkenaan  Pegawai Memerintah No 22 Skuadron Lt Kol Yusrizal Zain.-SabahNewsToday