Pilih Bahasa

SAYA TIDAK KATAKAN KERAJAAN AKAN IKTIRAF BUGIS DAN JAWA SEBAGAI ANAK NEGERI – AIDI

KOTA KINABALU: Menteri Undang Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar menafikan telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengiktiraf kaum Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri.

Aidi dalam satu kenyataan hari ini berkata apa yang beliau maksudkan ialah soal pengiktirafan kedua kaum ini sebagai Anak Negeri terserah kepada kerajaan negeri.

Datuk Aidi Mokhtar. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Kenyataan Aidi mendapat reaksi panas daripada pelbagai pihak samaada dari kerajaan atau pembangkang.

Beliau menjelaskan semasa menyampaikan surat perlantikan Ketua Anak Negeri di Tawau pada Jumaat beliau berkata kerajaan tidak dapat melantik ketua anak negeri dari suku Bugis dan Jawa memandangkan mereka bukan tergolong dalam kategori Anak Negeri.

Menurut Aidi, pelantikan seseorang yang bukan dari suku Anak Negeri sebagai Ketua Anak Negeri telah digantung sementara, sehingga mendapat pengesahan daripada Mahkamah Anak Negeri.

“Ini merupakan isu berkaitan undang-undang dan sedang diusahakan oleh kementerian yang tidak mengasingkan kumpulan bukan Anak Negeri,” katanya.

Katanya terdapat cadangan bagi beberapa pemimpin masyarakat Bugis dan Jawa dilantik sebagai Ketua Anak Negeri namun ianya tidak dapat dilakukan memandangkan hanya Anak Negeri sahaja yang boleh dilantik.

Aidi berkata mereka boleh mendapat status Anak Negeri sekiranya mendapat kelulusan  Mahkamah Anak Negeri di bawah Sekysen 2D Intepretation (Defination of Native) Ordinance  (Sabah Cap 64)  tertakluk kepada beberapa syarat khas.

“Saya memberitahu mereka agar menunggu sehingga semua isu-isu ini diselesaikan oleh Mahkamah Anak Negeri sebelum perkara pelantikan Ketua Anak Negeri daripada masyarakat Bugis dan Jawa dapat diselesaikan,” katanya.-SabahNewsToday