Pilih Bahasa

Saya tidak terlibat menjayakan konsert itu! – Siti Nurhaliza

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Siti menafikan pembabitannya dalam sebuah konsert di UMS menerusi laman Instagram miliknya. – Gambar SNT/Ihsan laman Instagram Siti Nurhaliza

KOTA KINABALU: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menafikan pembabitannya dalam menjayakan sebuah konsert bertempat di Universiti Malaydia Sabah (UMS) pada April depan.

Siti melalui laman sosial Instagram memberitahu dirinya tidak pernah menyatakan penglibatan menjayakan acara berkenaan seperti yang tertera pada poster konsert.

“Palsu! Perhatian! Saya tidak terlibat dengan acara ini dan tidak berada ditempat yang dinyatakan pada tarikh tersebut.

“Saya meminta kepada pihak bertanggungjawab mengenai hal ini agar nama dan gambar saya tidak digunakan kerana saya tak terlibat.

“Saya memang tidak pernah membuat atau menerima undang ini. Artis-artis lain yang ada gambar dan nama mereka, saya tak pasti terbabit atau tidak,” katanya.

Hael menafikan pembabitannya dalam sebuah konsert di UMS menerusi ‘insta story’ laman Instagram miliknya. – Gambar SNT/Ihsan laman Instagram Hael Husaini

Siti menegaskan agar perkara palsu seumpama itu tidak dibuat main-main oleh pihak berkaitan.

Menerusi poster yang dimuatnaik itu, persembahan dikenali sebagai YECA Concert terbabit berlangsung pada 18 dan 19 April di Dewan Canselor UMS.

Gambar artis lain turut tertera pada poster sama adalah Dayang Nurfaizah, Amy Search, Hael Husaini, Cakra Khan dan Aweera.

Dalam pada itu, Dayang Nurfaizah pada ruangan komen posting Siti juga menyatakan berita berkenaan adalah palsu dan tidak terlibat dengan konsert sama.

Dayang Nurfaizah turut meninggalkan komen menyatakan berita pembabitannya dalam konsert terbabit adalah palsu. – Gambar SNT/Ihsan laman sosial Siti Nurhaliza

“Yes palsu! Dayang tak terlibat,” katanya ringkas.

Hael Husaini yang kini berada di Jakarta, Indonesia bagi rangka promosi lagu terbaharunya bersama Cakra Khan berjudul Terlanjur Cinta turut memuatnaik ‘insta story’ gambar poster konsert yang tertera perkataan ‘palsu’.

Sementara itu, Siti meminta semua peminatnya agar tidak mudah terpedaya berkaitan berita mahupun poster palsu berkenaan. – SabahNewsToday