Pilih Bahasa

Sayur FC Juara Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Mantob

Sayur FC (duduk) dan Selipar Jepun FC mengambil gambar kenangan sebelum perlawanan akhir. Turut kelihatan Salbinous (berdiri tepi kanan), Newbaxter (berdiri dua kanan), Arthur (berdiri tepi kiri) dan Ninewjo (berdiri dua kiri).-Gambar SNT/Ehsan Belia Kampung Mantob

KIULU: Sayur FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah anjuran Belia Kampung Mantob yang berlangsung meriah di padang kampung itu, di sini kelmarin.

Pasukan itu menewaskan pasukan Selipar Jepun FC dalam aksi perlawanan akhir yang menyaksikan Sayur FC menang tipis 1-0.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan pasukan yang dibarisi oleh beberapa pemain dari Kiulu Veteran FC menerima hadiah kejuaraan berupa wang tunai RM500 dan hamper.

Pasukan Selipar Jepun FC selaku naib juara pula menerima hadiah RM300.

Tempat ketiga disandang Bet FC selepas menewaskan Ralba FC 2-0 untuk menerima hadiah wang tunai RM200.

Kejohanan turut diserikan dengan perlawanan dua pasukan wanita iaitu QBS FC (berdiri) dan Ulu Kiulu FC (duduk). Gambar SNT/Ehsan Belia Kg Mantob

Pengerusi Penganjur, Salbinous Saribun berkata, pertandingan itu merupakan satu usaha bagi memupuk gaya hidup aktif, sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat setempat khususnya generasi muda.

“Sambutan yang diterima  amat memberangsangkan, dan kita telah menerima penyertaan penuh sepuluh pasukan yang bermain secara liga dalam dua kumpulan.

“Dua pasukan dengan jumlah mata tertinggi di peringkat kumpulan masing-masing kemudiannya berentap di peringkat separuh akhir sebelum mara ke perlawanan akhir,” katanya.

Kejohanan itu turut menyaksikan perlawanan amalan bola sepak wanita antara pasukan Ulu Kiulu dan QBS FC.

Hadir sama, barisan jawatankuasa penganjur Newbaxter Tibin, Arthur Edward, Ninewjo Newmond dan Carolyn Lodimon.-SabahNewsToday