Pilih Bahasa

Scoot kini ke Kota Kinabalu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines, Scoot memulakan perkhidmatan sulungnya ke Kota Kinabalu dari Singapura hari ini.

Ia menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi kelapan Scoot di Malaysia selepas Ipoh, Kota Bharu, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.

Pesawat Airbus A320 milik syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot, dilihat parkir di Terminal 1, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Syarikat milik penuh Singapore Airlines itu memulakan perkhidmatan sulungnya ke Kota Kinabalu dari Singapura bermula hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pendaratan pertama penerbangan itu menerusi pesawat TR490 dari Singapura di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) membawa kira-kira 178 penumpang termasuk bayi pada pukul 11.40 pagi.

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan berkata pihaknya menjangkakan sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri itu yang mencari alternatif penerbangan yang menawarkan harga tambang rendah ke destinasi luar negara selain ke Singapura.

Calvin (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas sidang media mengumumkan penerbangan Scoot dari Singapura ke Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Calvin memberitahu Malaysia merupakan salah satu destinasi utama Scoot dan Kota Kinabalu adalah destinasi kedua yang dilancarkan tahun ini iaitu empat bulan selepas pembukaan laluan Kota Bharu-Singapura pada Julai lalu.

“Kami gembira kerana dapat meluaskan penerbangan harian ke Kota Kinabalu sekaligus menggembangkan rangkaian kami di Malaysia, menghubungkan Sabah hingga ke Singapura dan lebih 60 destinasi di seluruh dunia.

“Para pelanggan akan dapat menikmati nilai tambang terhebat dan pengalaman transit tidak dapat dilupakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Jewel.

Calvin (kiri) memberikan taklimat kepada media sempena penerbangan Scoot dari Singapura ke Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Pada masa yang sama kami berharap laluan ini akan merangsang industri pelancongan tempatan kerana Sabah mempunyai pelbagai tarikan mempesona seperti pulau-pulau dan Gunung Kinabalu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Calvin berkata perkhidmatan penerbangan Scoot ke Kota Kinabalu adalah sebanyak tujuh hari dalam seminggu.

Ditanya sama ada Scoot bercadang untuk menggembangkan perkhidmatannya ke bandar lain di negeri ini seperti Tawau dan Sandakan, Calvin berkata syarikat itu sememangnya berminat untuk meluaskan destinasi mereka pada masa depan.

Sejak memulakan perkhidmatannya pada Jun 2012, Scoot telah berjaya membawa seramai 65 juta penumpang ke seluruh negara dan kini menggendalikan 20 pesawat Boeing 787 Dreamliner badan lebar serba canggih dan Airbus A320 yang baharu dan moden.

Dengan perkhidmatan syarikat penerbangan baharu dari Kota Singa ini dilihat mampu meningkatkan lagi aktiviti sektor penerbangan di Sabah pada masa depan.

Kini LTAKK merekodkan peningkatan sebanyak 23 peratus dalam pergerakan penumpang untuk sektor BKI-SIN dari Januari hingga Oktober 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu. – SabahNewsToday