Pilih Bahasa

SDC catat pelaburan terkumpul RM166.84 bilion

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin memeriksa barisan Kawalan Kehormatan daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 16 Briged Sabah bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah di dataran DUN Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Koridor Pembangunan Sabah (SDC) mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM166.84 bilion dengan RM81 bilion daripada jumlah itu telah pun direalisasikan untuk melaksanakan projek pembangunan.

Selain itu Kerajaan Persekutuan pula telah menyalurkan sebanyak RM2.42 bilion kepada PIhak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), (RMK-10) dan RMK-11 bagi melaksanakan projek-projek di bawah SDC.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM2.36 bilion atau 97.64 peratus telah dibelanjakan bagi membiayai projek menaiktaraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Pelan Induk Pembangunan Zon Ekonomi Bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata inisiatif itu penting khususnya penyediaan infrastruktur bagi kemudahan para peniaga dan pelabur di samping meningkatkan penyambungan serta integrasi ekonomi global.

“Integrasi ekonomi penting untuk menempatkan Sabah sebagai destinasi pelaburan kompetitif di rantau Asia,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

 Tun Juhar berkata kerajaan negeri telah merangka Kajian Induk Bersepadu Hub Pengangkutan Udara bagi Sabah.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian kemungkinan pembinaan pelabuhan utama di Kudat sebagai laluan pintu utama keluar masuk pusat perdagangan di negeri itu untuk menampung kapasiti  penggunaan pelabuhan serta permintaan jangka panjang.

Tun Juhar menjelaskan jangkaan perdagangan yang akan meningkat di rantau ini dalam tempoh 15 tahun sehingga 20 tahun akan datang. – SabahNewsToday