Pilih Bahasa

SEBANYAK 30 BADAN BERKANUN, AGENSI KERAJAAN SABAH ADAKAN PAMERAN

Gambar Hiasan – Bernama

KOTA KINABALU, 27 Sept (Bernama) — Sebanyak 30 badan berkanun negeri dan agensi kerajaan akan mengadakan pameran untuk memberi informasi kepada orang ramai di pusat membeli belah Suria Sabah, di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Warisan Harta Sabah (WHS) Sdn Bhd dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pameran anjuran syarikat itu diadakan bersempena dengan kursus ahli lembaga pengarah badan berkanun negeri dan agensi kerajaan negeri 2018.

“Pameran ini merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan Sabah dan WHS diberi tanggungjawab untuk menganjurkan program ini pada tahun ini.

“Pameran itu bertujuan untuk memberi informasi kepada orang ramai berkenaan badan berkanun negeri dan agensi kerajaan yang terdapat di Sabah serta menjelaskan tentang peranan mereka di dalam memajukan ekonomi negeri Sabah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, selain itu pameran itu dapat menarik minat pelabur asing dari luar negara, sekali gus meningkatkan pertumbuhan produktiviti ekonomi tempatan.

Antara badan berkanun dan agensi kerajaan negeri yang menyertai pameran itu adalah Sabah Economic Development & Investment Authority (SEDIA), Kota Kinabalu Industrial Park Sdn Bhd (KKIP), Koperasi Kemajuan Perikanan, Nelayan Sabah (K0 Nelayan), Koperasi Pembangunan Desa, Lembaga industri Getah Sabah (LIGS), Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), Sabah Energy Corporation (SEC) dan Tabin Wildlife Holiday Sdn Bhd.

— BERNAMA