Pilih Bahasa

Sedco, CIS digesa teliti teknologi baharu, hindari pencemaran alam dalam industri simen

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) menggesa kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) serta Cement Industries Sabah (CIS) Sdn Bhd untuk meneliti pelbagai teknologi baharu yang boleh digunakan dalam kilang klinker kelak.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata cadangan pembukaan sebuah kilang klinker di negeri ini adalah satu perkara yang sensitif terhadap alam sekitar.

Madius (tengah) menerima cenderamata dari CIS selepas membuat lawatan kerja di kilang CIS di Sepanggar. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kilang klinker ini sesuatu yang sudah lama dalam perancangan Sedco dan juga CIS dan kementerian juga sememangnya melihat peluang ini, namun ia sensitif kepada alam sekitar.

“Contohnya, jika ia dibina berdekatan dengan kilang simen ini, sudah pasti ia sangat sensitif kerana mempunyai sekolah dan perkampungan dipersekitarannya.

“Oleh itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak akan meluluskannya jika ia memudaratkan alam sekitar.

“Begitu juga dari segi sumbernya, kita mempunyai sumber di beberapa tempat seperti pulau Balambangan, namun di sana mempunyai taman marin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar lawatan rasminya ke CIS di Sepanggar, hari ini.

Katanya usaha melihat teknologi yang tidak memudaratkan alam sekitar itu adalah satu langkah persediaan selain boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak Sabah.

“Hal ini kerana, Sabah mempunyai perundangan Alam Sekitar yang agak ketat dan apa yang penting sekali sema projek yang akan dijalankan oleh Sedia dan CIS harus bersedia dengan strategi menangani alam sekitar.

“Kita mahu supaya sumber alam semula jadi di sini tidak dieksport dalam bentuk bahan mentahnya tetapi hendaklah ditambah nilai dan diproses.

“Dalam pada itu, kita juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan seterusnya menjana pendapatan negeri,” jelasnya. -SabahNewsToday