Pilih Bahasa

Sedia teliti cadangan bantuan geran, pinjaman kepada ahli PPK

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Salahuddin (dua dari kanan) melawat Kolam Ikan Bakut View di Kampung Sendil Putatan. – Gambar SNT/Ihsan PPK Putatan

PUTATAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meneliti apa juga cadangan untuk membantu meningkatkan hasil pertanian negara termasuk pemberian bantuan dalam bentuk geran bagi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menjalankan penternakan ikan dan aktiviti pertanian lain.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata pada masa ini ahli PPK juga boleh mengemukakan permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan seperti geran daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Antaranya ialah Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Negeri.

Kolam Ikan Bakut View di Kampung Sendil Putatan yang mengusahakan penternakan ikan keli, udang kara dan hibrid kerapu. – Gambar SNT/Ihsan PPK Putatan

“Kita akan fikirkan sama ada bantuan geran atau pinjaman tapi apa yang penting saya mahu industri pertanian negara berkembang maju untuk pertumbuhan ekonomi negara dan negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolam Ikan Bakut View di Kampung Sendil Putatan di sini hari ini.

Dalam lawatan itu Salahuddin diiringi Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai dan Pengerusi PNK Sabah, Datuk Arsit Sedi.

Ketika ini jumlah PPK seluruh negara adalah sebanyak 279 cawangan dengan keahlian pula lebih 900,000 orang dan daripada jumlah itu seramai 60,000 ahli PPK di Sabah.

Salahuddin (tengah) menunjukkan seekor udang kara yang diternak di Kolam Ikan Bakut View di Kampung Sendil Putatan sambil diperhatikan oleh Arsit (tiga dari kanan). – Gambar SNT/ Ihsan PPK Putatan

Mengenai lawatan itu beliau menjelaskan penternakan ikan seperti hibrid kerapu menggunakan teknologi baharu itu biotech PCB oleh PPK Putatan dapat meningkatkan jumlah penternakan ikan tersebut sekaligus memenuhi permintaan pasaran tinggi dari China.

Katanya menerusi teknologi itu penternakan hibrid kerapu dalam kolam yang dihasilkan dapat mencecah hampir 2,000 ekor.

Salahuddin (depan) menabur makanan di Kolam Ikan Bakut View di Kampung Sendil Putatan. – Gambar SNT/Ihsan PPK Putatan

“Jadi kalau seekor itu boleh kita jual dengan RM50, bayangkan betapa besarnya potensi itu dan kapal-kapal dari China pula akan datang pada setiap musim atau bukan untuk membeli hasil tangkapan ini.

“Oleh itu saya sangat menggalakkan industri ini supaya berkembang lebih jauh kerana bukan sekadar ia memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan, malah teknologi yang diperolehi itu penting untuk menambah nilai eksport negara,” ujarnya. – SabahNewsToday