Pilih Bahasa

Sedia teruskan inisiatif pembangunan keusahawanan luar bandar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KIMANIS: Bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan pembabitan usahawan luar bandar Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) meneruskan inisiatif pembangunan keusahawannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari berkata kejayaan program keusahawanan yang dirancang di luar bandar akan membolehkan usahawan tempatan di kawasan itu turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Dr. Mohd Yaakub (kedua dari kiri) bersama usahawan PKS SDC semasa Festival Kudat 2019. – Gambar SNT/Ihsan Sedia

“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri telah menegaskan keperluan untuk membangunkan usahawan tempatan di Sabah.

“Tahun lalu Ketua Menteri telah mengumumkan satu dasar baharu dalam bidang pembangunan keusahawanan dengan dana awal akan disediakan bagi mereka yang berminat.

“Sementara tahun ini pula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengumumkan bahawa program Geran Agropreneur Muda ditawarkan kepada para usahawan tempatan yang mahu menceburi bidang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata selaku rakan kongsi strategik Pesta Kudat 2019 yang diadakan pada 25 hingga 27 Julai lalu, seramai 20 usahawan tempatan dipilih menyertai program itu dan berpeluang mempromosikan produk mereka kepada pengunjung di situ.

Dr Mohd Yaakub menambah Sedia juga akan menjadi penganjur bersama Minggu SME peringkat negeri di Tawau dengan menyenaraikan 15 usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka.

Minggu SME peringkat negeri yang dianjurkan bersama oleh SME Corp dan Sedia akan diadakan pada 2 hingga 4 Ogos 2019 di Eastern Plaza, Tawau.

Menurut beliau program itu bertujuan mempromosikan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan PKS selain mempamerkan produk dan perkhidmatan dari PKS.

Katanya melalui inisiatif pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Sedia berjaya membantu ramai usahawan untuk menubuhkan dan membangunkan perniagaan serta produk mereka. – SabahNewsToday