Pilih Bahasa

SEJARAH BATU SUMPAH PATUT DIMASUKKAN DALAM MATAPELAJARAN SEKOLAH

Oleh Alfred Petrus

Batu Sumpah Keningau. Gambar Fail SNT

KENINGAU: Catatan sejarah Batu Sumpah Keningau perlu dimasukkan ke dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Ketua Daerah Keningau OKK Amir Arif berkata, Batu Sumpah Keningau adalah satu sejarah yang perlu diketahui oleh generasi muda agar mereka memahami erti pembentukan Malaysia pada ketika itu.

“Sememangnya, seperti yang kita ketahui, generasi sekarang kurang faham berkenaan Batu Sumpah Keningau ini.

Ketua Daerah Keningau OKK Amir Arif. Gambar Fail SNT

“Saya berpendapat, Batu Sumpah Keningau ini dijadikan satu silibus di sekolah untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak muda dan belia-belia.

“Ini kerana, tanpa Batu Sumpah ini, Gagasan Malaysia tidak boleh di bentuk dengan senangnya kerana di sinilah (pedalaman) suara 33 peratus itu menentang keras North Borneo membentuk Malaysia bersama-sama dengan beberapa negara lain pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Upacara Pemindahan Batu Sumpah Daerah Keningau di sini hari ini.

Tambahnya, wujudnya Batu Sumpah Keningau berkenaan disebabkan persetujuan kedua buah negara untuk membentuk Gagasan Malaysia pada ketika itu.

“Pada 1962, Tun Abdul Razak datang ke Keningau untuk berjumpa dengan OKK Sedomon Gunsanad untuk berbincang mengenai pembentukan Malaysia.

“Penentangan keras dari abang kepada OKK Sedomon iaitu GS Sundang yang juga presiden sebuah parti dapat diselesaikan dengan syarat-syarat yang tercatat di Batu Sumpah berkenaan,” jelasnya.

Jelasnya, tidak ada gunanya jika Batu Sumpah Keningau dipindahkan ke perkarangan Warisan Muzium Keningau agar orang ramai dapat mengunjunginya tetapi tidak tahu maksud dan sejarah sebenarnya. -SabahNewsToday