Pilih Bahasa

Sekatan jalan raya terus diperketatkan bersama anggota tentera

Oleh Junaidi Ladjana

Mohd Haris (tiga kanan) meninjau di lokasi sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Penampang Bypass, Penampang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Tahap kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kelima khususnya di daerah ini menunjukkan peningkatan yang ketara.

Ini memandangkan jumlah kenderaan yang keluar masuk di daerah ini agak rendah sejak pagi tadi berbanding sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata ia sekaligus memperlihatkan keberkesanan sekatan jalan raya (SJR) yang turut disertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula hari ini.

Sekatan jalan raya di Jalan Penampang Bypass. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Alhamdulillah pada hari kelima kita dapati kesedaran masyarakat Penampang dilihat semakin meningkat kerana bilangan penduduk yang keluar untuk berurusan kita dapati agak berkurangan. 

“Ramai yang memahami dan mungkin ada kesedaran daripada sudut tanggungjawab untuk mereka duduk di rumah seperti mana dikehendaki oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam operasi sekatan jalan raya di Jalan Penampang Bypass di sini, petang tadi.

Sekatan jalan raya turut dijalankan di beberapa lokasi utama di Penampang iaitu laluan Lok Kawi-Putatan, Putatan-Kota Kinabalu, Penampang Bypass dan Jalan Bundusan.

Anggota tentera membantu anggota polis ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Penampang Bypass, Penampang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Daripada empat lokasi ini, kita menempatkan seramai dua anggota ATM untuk bertugas di sekitar sekatan jalan raya bersama PDRM dan fungsi dan peranaan anggota ATM ini di setiap sekatan jalan raya adalah sama. 

“Kita bergabung tenaga untuk memastikan kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di daerah ini,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan di premis-premis di sekitar Penampang, Mohd Haris berkata pematuhan setakat ini sudah mencapai 95 peratus dengan rata-ratanya memahami konsep pelaksaan PKP bagi menangani penularan Covid-19.

Hari pertama anggota polis dibantu oleh anggota tentera bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan hari kelima bagi mencegah penularan wabak Covid-19. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita boleh jangkakan sehingga 95 peratus premis-premis yang dibenarkan dibuka ini beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

“Pada sebelah malam juga kita melihat kepatuhan penduduk dan peniaga ini memang mencapai tahap sepenuhnya menutup operasi dengan masa yang ditetapkan,” katanya. – SabahNewsToday