Pilih Bahasa

SEKOLAH MENENGAH AGAMA KOTA KINABALU JOHAN CIP-KPS

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) — Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu muncul juara Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) Peringkat Zon Kota Kinabalu 2019 yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, di sini hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata 16 sekolah menyertai program ala ‘explorace’ itu yang merupakan edisi kesembilan sejak diadakan pada 2011.

“Program ini diadakan serentak di lapan zon di Sabah dan johan dari setiap zon akan bertanding di peringkat Sabah pada 12 hingga 14 April ini.

“Dalam pertandingan ini, pelajar diuji minda dan fizikal dalam lima modul cabaran melibatkan pengguna bijak, alam sekitar, pemakanan sihat, kewangan berhemat dan pembinaan pasukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata objektif penganjuran program berkenaan adalah untuk mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, program ini bertujuan membentuk generasi pengguna bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara kelab pengguna di seluruh negara,” katanya.

— BERNAMA