Pilih Bahasa

Sektor perumahan dan hartanah di Sabah digesa optimumkan kemajuan teknologi

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meminta sektor perumahan serta hartanah di negeri ini memainkan peranan bagi mengoptimumkan kemajuan teknologi sebagai usaha memacu ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata pihaknya yakin sekiranya sektor berkenaan mampu memanfaatkan kemajuan teknologi terkini, pastinya ia akan dikuti sektor perniagaan lain di negeri terbabit.

Gabriel (dua dari kanan) mewakili Datuk Jaujan Sambakong menerima cenderamata daripada Chua (empat dari kanan) sempena Majlis Penutupan Pameran Hartanah PROPEX 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Jaujan berkata menerusi Bajet 2020 yang diumumkan baru-baru ini, sebanyak RM21.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan 5G.

“Selain itu, RM550 juta pula diberikan untuk pembangunan automasi dalam sektor pengilangan.

“Hal ini menunjukkan kerajaan persekutuan juga sudah bersedia bagi revolusi teknologi. Oleh itu, kita juga harus bersedia ke arah kemajuan teknologi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Hartanah Propex 2019, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Jurutera dan Perunding Perumahan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Dr Gabriel Chong.

Memasuki penganjuran kali ke 11, lebih 5,000 pengunjung datang ke Propex 2019 sepanjang tiga hari pameran berlangsung bermula 26 hingga 28 Oktober.

Penganjuran pameran hartanah sama pada tahun hadapan dijangka berpindah ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selepas 11 tahun diadakan di Pusat Dagangan Sabah.

Dalam pada itu, turut disampaikan hadiah kepada syarikat pemaju yang memenangi empat kategori yang dipertandingkan sepanjang penganjuran Propex 2019.

Kategori Anugerah Model Rumah Terbaik dan Anugerah Alat Pemasaran Paling Inovatif dimenangi Syarikat Jesselton Group (Palikota Sdn Bhd).

Syarikat Remajaya Sdn Bhd pula dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori Anugerah Rekaan Ruang Pameran Terbaik manakala Top Green Development Sdn Bhd memenangi anugerah utama bagi Anugerah Ruang Pameran Berteknologi Tinggi.

Sementara itu, Jaujan berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan kesediaan Shareda dalam menyokong setiap keputusan kerajaan yang secara langsung memberi kesan positif kepada rakyat Sabah. -SabahNews Today