Pilih Bahasa

Seludup arak bernilai RM7.4 juta gagal, guna alasan ‘essential services’

Oleh Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Cubaan penyeludup mengambil kesempatan disebalik ‘essential services’ Op Covid-19 untuk menyeludup keluar sebanyak 5,070 kotak minuman keras bernilai RM7.4 juta yang dimuat dalam dua lori gagal apabila ditahan polis di Jalan Pekan Menumbok di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40 tahun yang juga pemandu lori berkenaan turut ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Mazli (kiri) memeriksa minuman keras yang dirampas selepas cuba diseludup keluar dari Sabah. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata bertindak atas maklumat, PPM Labuan menahan dua lori yang ketika itu lalu di laluan essential services.

“Bagaimanapun, kedua-dua lori berkenaan ditahan untuk diperiksa kerana dalam keadaan mencurigakan. 

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua lori itu menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis sebanyak 5,070 kotak minuman keras bernilai RM7.4 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di sini, semalam.

Mazli (depan) meneliti kotak minuman keras yang dirampas selepas cuba diseludup keluar dari Sabah. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Mazli berkata semua minuman keras itu diletakkan di ruang kargo barang yang ditutup dengan kanvas berwarna hijau.

“Siasatan lanjut juga mendapati semua minuman itu dipercayai cuba diseludup keluar ke tanah besar Sabah manakala es disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mazli (kiri) meneliti kotak minuman keras yang dirampas selepas cuba diseludup keluar dari Sabah. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

“Penyeludup-penyeludup ini menggunakan dasar essential services yang dibenarkan oleh kerajaan dalam PKP dan mereka mengambil peluang ini untuk menjalankan aktiviti penyeludupan disebalik dasar yang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata, Polis Sabah merekodkan lima kes seludup sepanjang tempoh pelaksanaan PKP setakat ini.

Mazli (tengah) ketika sidang media di IPD Beaufort. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Lima kes penyeludupan ini berlaku di Semporna tiga kes, Tawau dan Labuan masing-masing satu kes membabitkan seludup minuman keras, bahan basah dan diesel.

“Sehubungan itu, polis akan sentiasa menjalankan operasi mencegah sebarang jenayah penyeludupan meskipun kita juga sedang bekerja keras untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19 ini,” katanya. SabahNewsToday