Pilih Bahasa

SELUDUP MASUK 2,000 BUNGKUS ROKOK, SEORANG LELAKI WARGA FILIPINA DITAHAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki warga Filipina menyeludup masuk 2,000 bungkus rokok jenis Astro Menthol King mengundang padah selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tongkaloh, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika PPM melaksanakan gerakan Operasi Pensura Khas, kira-kira pukul 10 pagi.

Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas 2,000 bungkus rokok jenama Astro Menthol King yang cuba diseludup masuk oleh seorang lelaki warganegara Filipina. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Kita kemudian membuat pemeriksaan di dalam perahu berkenaan dan menemui empat kotak berwarna coklat berisi 2,000 bungkus rokok.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua rokok yang ditemui di perahu yang dijuragani lelaki berkenaan didapati tidak bercukai.

Rokok jenis Astro Menthol King dibawa dari negara Filipina dan cuba dipasarkan di daerah ini. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Kita percaya rokok terbabit dibawa dari negara Filipina dan cuba dipasarkan di daerah ini,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas perahu beserta enjin dan satu unit tangki minyak petrol dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,882.

“Semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Semua barangan dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

Sementara itu, Mohamad Pajeri turut mengalu-alukan kerjasama orang awam bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok.

“Saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama kerana aktiviti itu boleh menyebabkan kerajaan mengalami ketirisan nilai cukai yang besar sekiranya tidak dibanteras,” – katanya. – SabahNewsToday