Pilih Bahasa

Semakan MA63 berada di landasan betul: Shafie

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mengulangi keyakinan beliau tentang semakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, biarpun masih ada perkara yang tengah diperhalusi tetapi beliau yakin, landasan yang dilakukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed itu seiring dengan apa yang dikehendaki selama ini oleh rakyat Sabah.

Buku resepi “Curry Leaves”, yang dihasilkan sendiri oleh isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew di Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

”Walau ada suara diluar sana yang mahukan sesuatu tetapi kita sedar dan tahu semasa mereka menjadi kerajaan, mereka tidak dapat realisasikan (tuntutan) ini.

”Tetapi (kerajaan) hari ini sedikit sebanyak biarpun masih ada beberapa isu belum diputuskan tapi, apa yang penting kita menuju ke arah itu. Kita sepakat untuk merealisasikan apa dikehendaki rakyat Malaysia yang berada di Sabah,” jelasnya.

Shafie berkata jawatankuasa pemandu untuk mengkaji semula dan melaksanakan MA63 telah membincangkan hampir 40 isu berkaitan dengan hak negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah jawatankuasa teknikal dan pasukan petugas pada awalnya ditubuhkan untuk melihat butiran mengenai bidang autonomi yang akan dikembalikan kepada negeri-negeri sebelum dibentangkan kepada jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan antara lain bidang kuasa ke atas perhutanan, kuasa pengawalseliaan terhadap pengagihan elektrik dan gas, dan pengurusan pulau Sipadan dan Ligitan telah dikembalikan ke Sabah.

“Masih terdapat banyak lagi perbincangan lain contohnya, royalti minyak 40 peratus yang kami telah bentangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku resipi masakan ditulis oleh isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort di sini pada Selasa.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, tujuh isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah mendapat persetujuan Bersama pada 23 Julai manakala 14 isu lagi masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka diselesaikan sebelum 31 Ogos ini.

Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Semakan MA63 telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas pada MA63 untuk menyediakan laporan akhir sebelum 31 Ogos untuk dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa akan datang.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa 23 Julai lalu yang dihadiri oleh 23 anggota terdiri daripada menteri kabinet persekutuan, ketua menteri Sabah dan Sarawak serta pegawai kanan dari kerajaan persekutuan dan kedua kerajaan negeri.

Shafie berkata kerajaan juga telah melantik sebuah syarikat untuk menyelia pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang kini berada di bawah seliaan agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beberapa perkara yang perlu diperhalusi itu seperti bebanan hutang SESB yang mencecah RM1bilion yang mana, tidak mampu ditanggung sendirian oleh Kerajaan Negeri.

“Bukan semuanya dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat kerana ia melibatkan beberapa faktor seperti kutipan hasil persekutuan dari negeri,” katanya, sambil menambah ianya memerlukan kerjasama agensi kerajaan dan persekutuan.

“Tetapi inilah yang kita minta selama ini dari segi hak negara. Dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri walaupun masih terdapat beberapa perkara lain yang perlu diperbaiki,”katanya.

Sementara itu, Shafie bersetuju dengan saranan Tun Mahathir untuk rakyat Sabah dan Sarawak untuk berfikir sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun demikian, beliau menjelaskan slogan Sabah untuk Orang Sabah ini bukan bermakna orang Sabah terlalu bersifat kenegerian.

Beliau berkata slogan itu sebenarnya adalah panggilan untuk hak-hak negeri, sambil menambah negeri-negeri lain juga mempunyai slogan mereka sendiri.

“(Tetapi) saya bersetuju dengan Tun bahawa apa yang paling penting dalam membina sebuah negara mesti ada rasa cinta kepada Malaysia,” katanya.

Mahathir baru-baru ini menggesa orang Sabah dan Sarawak untuk berfikir sebagai rakyat Malaysia berikutan kritikan bahawa Putrajaya tidak berunding dengan kedua negeri ini semasa membuat keputusan tentang beberapa isu.-SabahNewsToday