Pilih Bahasa

SEMBILAN KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL DI MATUNGGONG

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KUDAT: Sembilan keluarga membabitkan 35 penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Hobut, Matunggong, dekat sini, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Rumah panjang separuh kekal musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Hobut, Matunggong, Kudat, dekat sini, petang tadi. Gambar SNT/ Ehsan Bomba

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Kudat merangkap ketua operasi, Isahak Jabas berkata kemusnahan terdiri daripada satu blok rumah panjang memiliki tujuh pintu.

Beliau berkata rumah panjang berkenaan dibina daripada struktur separuh kekal mengakibatkan api merebak dengan cepat.

Anggota bomba berusaha mengawal api dalam kebakaran tersebut. Gambar SNT/Ehsan Bomba

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan melalui jarak 41 kilometer daripada Balai Bomba Kudat.

“Dua buah jentera dan dua utiliti bersama tujuh orang anggota beserta empat orang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) diarahkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

Rumah panjang musnah dalam kebakaran mengakibatkan 35 orang kehilangan tempat tinggal di Kampung Hobut, Matunggong petang tadi. Gambar SNT/Ehsan Bomba

“Setiba di lokasi kebakaran, kita terus melaksanakan operasi pemadaman agar kebakaran tidak merebak ke dan membahayakan kawasan sekitar,” katanya.

Isahak berkata operasi terkawal pada jam 7.16 petang manakala tamat sepenuh 8.29 malam.

Menurut beliau punca sebenar kebakaran dan  nilai kerugian harta benda masih dalam siasatan. -SabahNews Today