Pilih Bahasa

Sembilan kru bot nelayan Brunei kemungkinan lemas

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota Maritim Malaysia mengangkat mangsa nelayan Brunei yang ditemui selamat. – Gambar SNT/Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Sembilan kru bot nelayan Brunei yang hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tenggelam akibat dipukul ombak kemungkinan lemas berdasarkan maklumat daripada salah seorang rakan mereka yang terselamat, semalam.

Kru bot nelayan Brunei yang selamat iaitu Sakur Ahing Jupli, 38, warga Filipina manakala seorang lagi kru yang selamat belum dikenal pasti identitinya.

Sembilan lagi kru bot terbabit iaitu Naseer Ketugi Abdullah, 39, Filipina (juragan); Sarri Ahing Ibno, 50, Filipina; Anthony Tornales Dionaldo, 51, Filipina; Nor Jehad Makakena Abdullah, 27, Filipina; Cesar Masalihiat Llurag, 54, Filipina; Idris, 43, Indonesia; Mujib Intimani Alli, 43, Filipina; Agus Hariyanto, 39, Indonesia; Rusli Yusanto, 38, Indonesia; Glori Dwi Santoso, 24, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan berkata kru bot yang selamat Sakur Ahing dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) mendakwa bot mereka tenggelam selepas dimasuki air akibat ombak yang kuat dan laut bergelora dipercayai di kawasan perairan Brunei.

“Ketika itu, empat kru bot turut tenggelam bersama-sama dengan bot berkenaan manakala tujuh termasuk Sakur dan seorang lagi kru yang selamat sempat terjun dari bot dan terapung beberapa hari hingga hanyut ke perairan Malaysia.

“Lima kru bot yang terapung di laut dikatakan tidak dapat bertahan dan turut tenggelam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun Kamaruszaman berkata, pihaknya dengan kerjasama pasukan keselamatan Brunei masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan mangsa dan bangkai bot berkenaan.

“Bot berkenaan dipercayai tenggelam di kawasan perairan Brunei namun setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh kejadian dan usaha mengesan bangkai bot sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat Brunei di perairan mereka.

“Kita fokus mencari di sekitar kawasan dua mangsa yang ditemui selamat di Pulau Tiga bagi mengesan lima lagi mangsa namun sehingga kini belum menemui mangsa kru bot terbabit,” katanya.

Sementara itu, Kamaruszaman berkata, salah seorang kru bot yang ditemui selamat di Pulau Tiga, semalam disahkan meninggal dunia pada pukul 2.28 pagi tadi manakala Sakur Ahing masih menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Semalam, Maritim Malaysia melaksanakan SAR sembilan kru bot nelayan Brunei selepas menerima maklumat daripada National Search And Rescue Coordination Committe (NRCC) Brunei memohon bantuan mengesan 11 nelayan mereka yang dikhuatiri hanyut dan mereka mengaktifkan SAR pada 7 Ogos lalu.

Tengah hari semalam juga, sebuah bot nelayan tempatan menyelamatkan dua kru bot nelayan Brunei sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – SabahNewsToday