Pilih Bahasa

SEMBILAN LARAS BAKAKUK DIRAMPAS SEJAK AWAL TAHUN SELURUH NEGERI

Oleh Alfred Petrus

Dua daripada sembilan laras bakakuk yang dirampas polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya merampas sebanyak sembilan laras senjata api buatan sendiri (bakakuk) sepanjang Januari hingga 6 Februari di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata melalui rampasan tersebut, polis Sabah juga berjaya menahan 17 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pembuatan dan penggunaan senjata berkenaan tanpa lesen.

“Bagi Keningau, kita telah merampas tiga laras bakakuk, dua laras di Kinabatangan dan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau serta Tuaran masing-masing merekodkan satu laras rampasan.

“Bagi statistik tangkapan pula, kita telah menangkap seramai tujuh orang dari Keningau, Labuan tiga orang, Kinabatangan dan Kota Kinabalu masing-masing dua orang serta seorang di Tuaran.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka melibatkan rampasan tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Menurutnya kesemua suspek yang ditangkap berumur antara 20 hingga 50 tahun.

Terdahulu, Omar berkata daripada sembilan rampasan tersebut, satu kes berlaku di Keningau melibatkan senjata api sehingga mencederakan orang awam baru-baru ini.

Jelasnya pada 22 Januari kira-kira pukul 8 malam, seorang lelaki tempatan ditembak ketika menoreh getah di kebunnya.

“Mangsa pergi ke kebun getah berseorangan dengan membawa peralatan memotong getah untuk menoreh. Apabila sampai di kebun, mangsa menoreh getah sehinggalah mangsa terdengar bunyi letupan dan merasa sakit di bahagian muka lalu terjatuh kesakitan. Muka mangsa turut berlumuran darah.

“Semasa dalam menahan sakit, mangsa melihat dua orang lelaki berlari ke arahnya dan salah seorang daripada lelaki tersebut dikenali mangsa sebagai salah seorang daripada penduduk yang tinggal berdekatan dengan kampungnya.

“Apabila melihat mangsa terbaring, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri. Mangsa cuba bangun berjalan ke arah rumahnya dan ekoran maklumat daripada mangsa, kita dapat menangkap seramai empat orang bersabit dengan kes tersebut,” katanya.

Jelasnya salah seorang daripada suspek telah mengaku terlibat dalam melepaskan tembakan ke arah mangsa kerana suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu menyangkakan mangsa adalah seekor binatang buruan iaitu kijang. -SabahNewsToday