Pilih Bahasa

Sembilan pemancing diselamatkan APMM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini berjaya menyelamatkan sembilan pemancing tempatan selepas bot mereka kehabisan minyak di perairan Inderasabah, petang semalam.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, petugas bilik Operasi Zon Maritim Tawau menerima panggilan daripada seorang daripada mangsa  berkenaan pukul 5.50 petang.

Sembilan pemancing berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Gambar SNT / Ihsan APMM

“Anggota bot peronda APMM yang bertugas di sekitar kawasan tanggungjawab segera digerakkan ke lokasi kejadian mengikut lokasi yang diperoleh.

“Bot Banggi 13 yang diketuai Bintara Muda Maritim Kasman Kasim bersama lima anggota Maritim Malaysia, berjaya menjumpai bot terbabit.

“Semua mangsa berusia 30 hingga 55 tahun ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa ke jeti Yatch Club Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot yang dinaiki sembilan pemancing kehabisan minyak di perairan Inderasabah semalam. Gambar SNT / Ihsan APMM

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut terutama di musim Monsun Barat Daya. – SabahNewsToday