Pilih Bahasa

Sembilan staf UMS galas cabaran di Kuching Marathon

KOTA KINABALU: Sembilan orang staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menggalas cabaran membawa nama UMS dalam Kejohanan Kuching Marathon 2019 yang akan berlangsung pada 18 Ogos ini di Kuching, Sarawak.

Kumpulan pelari UMS adalah terdiri daripada gabungan kakitangan akademik dan Kumpulan Pegawai Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Prof Dr Taufiq (empat dari kanan) menyerahkan bendera universiti kepada kontinjen UMS. Gambar SNT/Ihsan UMS

Menurut Dr. Mohamad Nizam, penyertaan mereka dalam acara tahunan tersebut adalah satu usaha untuk menyatukan kakitangan dari pelbagai perkhidmatan bersatu sebagai pasukan.

“Kumpulan pelari ini bersemangat tinggi untuk mengibarkan bendera UMS dalam satu kejohanan berprestij, selain mahu menjadi role model kepada kakitangan-kakitangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelepasan UMS Runners Ke Kuching Marathon 2019 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Prof Dr Taufiq dalam memberi kata perangsang kepada kontinjen UMS berkata usaha ini merupakan langkah yang tepat  dalam memupuk penyatu paduan melalui sukan.

“Ini merupakan satu permulaan yang baik dalam mengangkat nilai keharmonian dalam kepelbagaian dalam kalangan warga UMS.

“Universiti juga menyokong usaha-usaha yang boleh membawa nama baik UMS ke serata dunia termasuk melalui penglibatan acara sukan,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof.-SabahNewsToday