Pilih Bahasa

SEMBUNYI GANJA BAWAH PELAPIK LANTAI KERETA

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Helah seorang lelaki untuk mengaburkan mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan sebuah beg kecil berisi ketulan mampat dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja gagal setelah bahan terlarang itu dijumpai dibawah pelapik kaki tempat duduk pemandu sebuah kereta.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu terdahulu telah mengesan seorang lelaki warga tempatan berumur 40-an sedang berdiri ditepi pintu sebuah kereta jenis Subaru Imprezza di Taman Dixon, Rabu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (dua kanan) menunjukkan ketulan mampat dadah jenis ganja sambil diperhatikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah Superitendan Ahmad Jawila (kanan) pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, anggota serbuan melakukan pemeriksaan pada badan suspek namun tidak menjumpai sebarang bahan terlarang pada badan suspek.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada kenderaan yang dinaiki suspek telah menemukan satu beg kecil berwarna hitam yang disembunyikan dibawah pelapik kaki pada bahagian tempat duduk pemandu. Dalam beg hitam berkenaan, terkandung dua ketulan besar mampat dan 12 ketulan kecil mampat berisi tumbuhan kering jenis dipercayai dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Bungkusan besar mengandungi ketulan mampat dadah jenis ganja bersama bagasi yang dirampas polis pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Zaini, sebaik sahaja penahanan dibuat keatas suspek yang berasal dari daerah Papar itu, pihak polis telah dibawa oleh suspek ke sebuah rumah di Taman Cantek.

“Di situ, pihak polis telah menjumpai sebuah bagasi berwarna hitam yang dalamnya berisi lapan paket plastik besar yang setiap satunya berisi lima paket plastik kecil berisi ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai dadah jenis ganja.

Bungkusan kecil ketulan mampat dadah jenis ganja yang disembunyikan suspek dibawah pelapik kaki sebuah kenderaan pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain dari itu, turut dijumpai 11 paket plastik besar yang berisi bahan terlarang yang sama iaitu dadah jenis ganja,” katanya.

Jelas Zaini, ini merupakan tangkapan dan rampasan pertama polis melibatkan ganja dan pihak polis yakin kesemua dadah yang dimiliki suspek adalah digunakan untuk tujuan pasaran tempatan sambil menyatakan kebanyakan pengguna menggunakan dadah jenis THC atau Tetra Hydrocannibol untuk berhibur di pusat hiburan.

“Melalui risikan dari pihak narkotik, penahanan suspek ini juga ada berkait dengan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang kini sedang dikesan sekitar negeri ini,” tambahnya.

Kesemua dadah yang dirampas seberat 1,158 gram itu dianggarkan bernilai RM 2,500 pada pasaran dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, pucuk kepimpinan polis Kontinjen Sabah turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah Superitendan Ahmad Jawila atas peningkatan penangkapan kes melibatkan daun ketum di Sabah.

“Bermula Januari sehingga 21 Februari, pihak polis dari JSJN Kontinjen Sabah telah merampas sebanyak 6,000 gram daun ketum yang mana pada tahun lepas rampasan daun ketum ini tidak pernah dibuat,” jelas Zaini.

Secara keseluruhan bermula awal tahun ini sehingga 21 Februari, JSJN Kontinjen Sabah telah menangkap seramai 2,299 orang atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

“Jika dibanding tempoh yang sama bagi tahun lepas, sebanyak 10 peratus peningkatan tangkapan melibatkan jenayah narkotik ini telah berjaya dibuat pada tahun ini. Syabas dan tahniah diucapkan,” katanya. -SabahNewsToday