Pilih Bahasa

Sembunyi syabu bernilai lebih RM100 ribu dalam pek gula dan susu tepung

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Barangan yang dirampas Maritim Malaysia. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup syabu bernilai RM141,450 ke Indonesia di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Lama, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.36 pagi suspek yang memakai baju berwarna merah dan berkopiah bagaimanapun bertindak melarikan diri meninggalkan satu bungkusan merah berisi kotak dan satu beg sandang di jeti berkenaan apabila menyedari pihak penguatkuasa menghampirinya selain

Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah di lokasi berkenaan.

“Sepasukan anggota Maritim Malaysia kemudian bergegas ke lokasi sebelum menemui seorang lelaki di jeti berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki berkopiah itu bertindak melarikan diri dan meninggalkan sebuah beg sandang berwarna hitam dan satu plastik berwarna merah berisi kotak di situ,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya kemudian menghampiri jeti CIQ dan melakukan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit.

Syabu yang disembunyi dalam bungkusan susu tepung dan gula bagi mengaburi mata peguatkuasa. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemui makanan ringan, sebungkus susu tepung jenama ‘Nestle Nespray’ dan sebungkus gula pasir sekilogram selain terdapat 19 paket plastik lutsinar disembunyikan dalam pek susu tepung disyaki dadah jenis syabu. 

“Turut ditemui plastik lutsinar berisi syabu di dalam pek gula dianggarkan berat keseluruhan 943 gram bernilai RM141,450,” katanya.

Mohd Yusri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah itu cuba diseludup ke Pulau Sebatik sebelum ke Indonesia untuk dijual di sana.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek dipercayai sedang menunggu bot penumpang untuk ke Pulau Sebatik sebelum bergerak ke negara jiran.

“Semua barangan berkenaan dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- SabahNewsToday