Pilih Bahasa

‘Semoga Tuhan memberkati Datuk’

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: “Semoga Tuhan memberkati Datuk” itulah ucapan wakil penduduk yang bakal terjejas oleh projek Empangan Kaiduan/Papar apabila Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima memorandum mereka siang tadi.

Kumpulan penduduk kampung dari daerah Penampang dan Papar ini berjaya menemui Mohd Shafie semasa beliau keluar dari pejabat beliau di Dewan Undangan Negeri untuk menyerahkan memorandum meminta projek tersebut dipindahkan ataupun ditukar dengan kaedah lain.

Mohd Shafie menerima dua memorandum daripada wakil penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri. Gambar SNT/Chris Maskilone

Walaupun pertemuan hanya berlangsung sekitar lima minit namun kumpulan itu cukup gembira kerana mereka diterima dengan baik oleh Ketua Menteri.

Mohd Shafie sempat memberi sedikit kata-kata kepada mereka dan juga bergambar bersama rombongan itu yang lengkap berpakaian tradisi kaum KDM.

Menurut jurucakap Task Force Against Kaiduan Dam (TAKAD) Diana Sipail mereka telah lama ingin bertemu dengan Mohd Shafie, hanya pada kali ini mendapat peluang tersebut.

Kampung-kampung yang terlibat dalam daerah Penampang ialah Timpayasa, Tiku, Babagon Laut, Buayan, Kionop, Terian, Kalanggaan, Pongobonon dan Longkogungan.

Manakala dalam daerah Papar, kampung-kampung tersebut ialah Bisuang, Kaiduan, Bolotikon, Mandalipau, Kundasang dan Kogopon.

Empangan tersebut dicadang bagi menampung keperluan air di kawasan Pantai Barat yang dijangka tidak mencukupi dalam 10 tahun akan datang.-SabahNewsToday