Pilih Bahasa

Semporna catat tangkapan bom ikan dan bahan letupan tertinggi

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Daerah ini merekodkan kes tangkapan tertinggi membabitkan bom ikan dan bahan letupan daripada tahun 2017 hingga enam bulan pertama tahun ini bagi seluruh Sabah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali ketika dihubungi Sabah News Today berkata dalam tempoh itu sebanyak 43 kes direkodkan di daerah Semporna dibawah Akta Perikanan 1985 (bom ikan) dan Akta Bahan Letupan 1957.

ACP Mohamad Pajeri Ali. Gambar Fail SNT

“Pada tahun 2017 sebanyak 17 kes direkodkan manakala tahun 2018 pula merekodkan sebanyak 13 kes dan yang terbaharu tahun 2019 sehingga Jun sahaja sebanyak 13 kes telah direkodkan,” katanya.

Katanya 13 kes tangkapan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan bom ikan dan bahan letupan di sini dengan nilai rampasan RM39,610, tertinggi seluruh Sabah.

“Kota Kinabalu di tempat kedua merekodkan 11 kes, diikuti masing-masing tiga kes di Kudat dan Lahad Datu dengan nilai rampasan bagi ketiga-tiga daerah ini sebanyak RM60,503 untuk enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya akan terus komited menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di perairan negara termasuk membanteras kegiatan bom ikan dan bahan letupan yang mendatangkan pelbagai implikasi negatif.

“Kita sentiasa berusaha memastikan tidak ada berlaku sebarang perlanggaran undang-undang di perairan negara dan kita sememangnya berharap kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat,” katanya.

PPM juga katanya akan bertindak menguatkuasakan akta/peraturan ke atas aktiviti air terutama bot-bot yang membawa penumpang seperti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.

“Operasi itu turut memberi perhatian kepada pengusaha pelancongan dan mengenalpasti kesalahan yang sering dilakukan oleh bot-bot pelancong agar mereka tidak melakukannya pada masa akan datang.

“PPM sentiasa memberi penekanan memerangi jenayah pengeboman ikan di perairan Sabah, sama ada melancarkan operasi di peringkat PPM, malah mengadakan kolaborasi bersama agensi Penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Perikanan, dan Taman-Taman Sabah secara berterusan.- SabahNewsToday