Pilih Bahasa

SEMPORNA TUBUH UNIT POLIS PELANCONG PERTAMANYA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Ibu Pejabat Daerah (IPD) Semporna melakar sejarah baharu dengan penubuhan satu-satunya Unit Polis Pelancongan dibawah naungan IPD itu sendiri.

Penubuhan unit yang memiliki kekuatan empat anggota termasuk dua wanita ini bertujuan memberi perkhidmatan dari segi keselamatan dan perlindungan kepada pelancong yang datang ke daerah ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas (tengah) bergambar bersama empat anggota Unit Polis Pelancong. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, anggota unit akan bertugas di kawasan panas seperti di kawasan jeti, pulau-pulau tumpuan pelancong dan kawasan resort.

“Program ini adalah salah satu pengisian sempena Sambutan Hari Polis yang akan disambut pada 25 Mac ini dan Unit Polis Pelancong ini merupakan sejarah bagi IPD Semporna yang perlu diwujudkan memandangkan daerah ini sentiasa dikunjungi pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

“Empat anggota yang memiliki kriteria yang kita pilih adalah mereka mahir berkomunikasi dalam beberapa bahasa khasnya Bahasa Mandarin memandangkan daerah ini menerima kebanyakannya pelancong dari negara China yang kurang fasih berbahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media sempena Pelancaran Unit Polis Pelancong, di Jeti Seafest, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga dalam usaha untuk menambah lagi anggota dan kenderaan untuk kemudahan Unit Polis Pelancong berkenaan.

“Sebenarnya kita akan menambah anggota unit pelancong ini dengan membuat permintaan kepada peringkat atasan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas (kanan) bersama empat anggota Unit Polis Pelancong menyambut kedatangan pelancong di Jeti Seafest Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Ketua Polis Negara secara lisannya dalam satu majlis dialog di Kota Kinabalu baru-baru ini telah memberi lampu hijau kepada IPD Semporna untuk menubuhkan unit polis pelancong ini dan sudah pasti kita akan tambahkan anggota dan juga kenderaan kita,”katanya.

Sementara itu, anggota Unit Polis Pelancong, Koperal Harvinda Hadis, 30, berkata, kebolehannya bertutur dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris menjadi sebab dia diserap dalam unit berkenaan.

“Saya sebelum ini bekerja di bahagian kaunter pertanyaan IPD Semporna. Mungkin dari situ pihak IPD lihat kebolehan yang saya ada yang mahir bertutur kerana di daerah ini, lebih ramai pelancong dari negara China yang berkunjung ke sini.

“Besar harapan kami untuk masyarakat sama-sama membantu menjaga keselamatan pelancong yang datang ke sini khasnya di Sabah,”katanya.

Mengikut statistik, pelancong dari dalam dan luar negara diterima pada tahun 2018 adalah seramai 513,972 orang manakala pada Januari hingga Februari tahun ini, seramai 105,214 pelancong berkunjung ke daerah ini. – SabahNewsToday