Pilih Bahasa

Semua penumpang menjalani ujian Covid-19 : Frankie

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Ujian saringan coronavirus (Covid-19) sudah diperluaskan membabitkan semua penumpang penerbangan domenstik dari semenanjung ke Sabah yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata sebelum ini, ujian atau pemeriksaan kesihatan di KKIA membabitkan penumpang-penumpang penerbangan antarabangsaan dari China dan Taiwan.

Frankie menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran Bulan Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Daerah Penampang di Dewan Sri Malakun, SMK Limbanak hari ini. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Ramai juga yang bising kerana penumpang dari Johor dan Kuala Lumpur tidak dikenakan ujian saringan tetapi sekarang tidak lagi kerana semua mereka kena saring.

“Penumpang-penumpang domestik dari luar Sabah khususnya Semenanjung seperti Kuala Lumpur dan Johor turut menjalani pemeriksaan di pos Jabatan Imigresen KKIA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan (BADK) Peringkat Daerah Penampang 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbanak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa kononnya tidak ada ujian Covid-19 yang dilihat oleh orang awam dilakukan di pintu masuk KKIA.

“Sebenarnya hanya penumpang domestik dalam negeri sahaja (seperti Kota Kinabalu- Sandakan atau Kota Kinabalu-Tawau) yang tidak perlu menjalani pemeriksaan.

“Tetapi ada juga pengurusan lapangan terbang domestik yang mengambil inisiatif sendiri menjalankan ujian saringan Covid-19 seperti di Lapangan Terbang Sandakan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes seorang suspek di Labuan pula, beliau berkata pihaknya masih menunggu hasil keputusan makmal berhubung ujian yang dijalankan.

“Setakat ini belum ada jawapan dan kita masih menunggu, mungkin esok pagi dan saya akan beritahu media jika ada kes,” katanya. – SabahNewsToday