Pilih Bahasa

Semua pihak diseru ambil langkah awal cegah Covid-19: Ketua Menteri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie Apdal. -Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kesemua pihak di negeri ini mengambil langkah awal dalam mencegah jangkitan wabak Covid-19 dengan mengikuti peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, beliau turut menggesa agar kerjasama diberikan kepada pihak berkuasa khususnya KKM bagi menangani berlakunya pertambahan kes penularan Covid-19 di negeri ini.

“Saya khuatir dengan penularan wabak Covid-19 di seluruh Sabah dalam tempoh masa yang singkat ini, malah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengumumkan sebanyak 49 kes berkenaan berlaku di negeri ini.

“Pihak berkuasa kesihatan kita bimbang bilangan kes jangkitan Covid-19 mungkin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sejak 30 Januari lalu, kerajaan Sabah mengambil tindakan tegas untuk menghentikan ketibaan pelancong dari negara-negara yang terjejas oleh koronavirus.

Usaha itu jelas beliau lagi adalah untuk membantu melindungi rakyat negeri ini, namun menyedari bahawa wabak Covid-19 akan tersebar di Sabah pada bila-bila masa seperti pada masa ini sama seperti yang terjadi di beberapa negara lain.

Kes positif pertama Covid-19 di Sabah minggu lalu dikesan melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun di Tawau yang merupakan antara 300 ahli Tabligh yang menghadiri perhimpunan Masjid Seri Petaling pada 29 Feb dan 1 Mac.

Berikutan kes itu, Mohd Shafie berkata pihak kesihatan di negeri ini mengesan lebih banyak kes dalam kalangan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dan langkah sewajarnya sedang diambil untuk mencari mereka terbabit dan orang yang mereka temui sekembalinya ke negeri ini bagi tempoh 10 hari lalu.

“Jabatan Kesihatan dan pihak berkaitan juga berusaha mencari dan mengenal pasti kawasan yang mungkin tercemar.

“Langkah pantas juga diambil dengan menutup masjid dan surau sementara di kawasan yang telah dikenal pasti dengan kes Covid-19.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada semua orang untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan mengikuti nasihat pegawai kesihatan.

“Saya sedar bahawa akan ada banyak pengorbanan oleh semua orang terutama kakitangan perubatan kami yang berada di barisan hadapan. Kami bersyukur kerana keberanian dan kerja keras mereka,” katanya beliau lagi.

Beliau menambah lebih banyak langkah diperlukan untuk mengawal penyebaran virus itu di negeri ini.

“Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan antara lain kemungkinan menambah cuti sekolah pada masa kini untuk membendung penyebaran Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

“Saya merayu kepada rakyat untuk meminimumkan pergerakan mereka dan jika boleh, majikan sektor swasta membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah,” jelasnya.

Mohd Shafie berkata masalah itu boleh diatasi secara bersama dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk menghentikan penyebaran Covid-19. – SabahNewsToday