Pilih Bahasa

Senapang ‘makan’ tuan

Oleh Junaidi Ladjana

Senapang bakakuk dipercayai milik mangsa yang maut akibat tertembak dirinya selepas tergelincir. – Gambar SNT/Ihsan IPD Ranau

RANAU: Seorang lelaki maut apabila dipercayai tertembak dirinya sendiri dengan senapang bakakuk miliknya selepas tergelincir ketika berjalan di kebunnya di Kampung Togis, di sini kelmarin.

Mangsa berusia lingkungan 40 tahun ditemui anak lelakinya berusia 20-an selepas dihubungi mangsa pada pukul 8.50 malam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas anak mangsa membuat laporan polis pukul 2.09 pagi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar ke kebun seorang diri dan pukul 8.50 malam, mangsa menghubungi anaknya memaklumkan dia tertembak sendiri ketika berada di kebunnya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan parah di bahagian belakang pinggang disyaki akibat tertembak dengan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kejadian itu, Sammy berkata pihaknya merampas selaras senapang bakakuk, tiga butir peluru hidup satu butir kelongsong peluru dan beberapa barang milik mangsa di lokasi kejadian.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan, memiliki atau menyimpan senjata api buatan sendiri atau peluru tanpa lesen,” katanya.

Ujar beliau lagi, sesiapa yang didapati memiliki atau membawa senjata api atau peluru tanpa lesen atau permit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – SabahNewsToday