Pilih Bahasa

Senarai KIR miskin e-Kasih perlu dikaji semula: Ewon

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, senarai nama ketua isi rumah (KIR) miskin dalam sistem pangkalan data e-Kasih perlu dikaji semula bagi memastikan program bantuan rakyat termiskin sampai kepada golongan sasaran.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula senarai nama e-kasih dan perkara itu sedang diambil tindakan.

Ewon Benedick. – Gambar fail SNT

“Ini kerana ada aduan, terdapat nama yang tersenarai dalam e-Kasih sebelum ini sebenarnya tidak layak dan mereka yang layak tidak tersenarai dalam e-kasih.

“Oleh itu saya mahu Mobile Team Pejabat Daerah diperkasakan lagi untuk tujuan itu. Saya juga menggesa agar Pegawai Daerah sendiri mengetuai lawatan verifikasi mobile team tersebut dan mengalu-alukan Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan di kawasan masing-masing menyertai lawatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan Mobile Team Pejabat Daerah Kota Belud yang diketuai Pengawai Daerah Hajah Diyanah Abdullah.

Lawatan Mobile Team Pejabat Daerah Kota Belud selama dua hari bermula Isnin itu melibatkan 21 buah rumah ketua isi rumah iaitu masing-masing tujuh rumah di kawasan DUN Kadamaian, DUN Usukan dan DUN Tampasuk.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Kerajaan Negeri bersetuju mengekalkan mekanisme sedia ada bagi memproses permohonan bantuan keluarga isi rumah miskin yang termasuk dalam sistem e-Kasih.

Beliau berkata mekanisme tersebut termasuk lawatan Mobile Team yang diwujudkan di semua pejabat daerah bagi membuat verifikasi ke atas permohonan-permohonan yang diterima sebelum diangkat ke mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Daerah.

Bagaimanapun katanya, bagi permohonan baru, Mobile Team Pejabat Daerah yang merangkumi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan harus membuat lawatan verifikasi ke rumah isi rumah pemohon sama ada mereka benar-benar layak untuk dimasukkan dalam senarai e-Kasih dan menentukan jenis bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga berkenaan.

“Secara peribadi, lawatan sebegini memberikan peluang kepada saya untuk melihat sendiri permasalahan dan keadaan sebenar setiap keluarga isi rumah miskin yang terlibat. Saya akui isu kemiskinan masih merupakan isu besar yang perlu ditangani oleh Kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempunyai tanggungjawab besar mengangkat keperluan penyelesaian kepada isu-isu ini.

“Kita boleh menggunakan hasil lawatan ini bagi memperkasakan dasar dan program sedia ada dan memulakan inisiatif-inisiatif baru yang bersesuaian untuk membantu keluarga isi rumah miskin. Saya akan terus memperjuangkan supaya peruntukan yang lebih besar disediakan bagi program pembasmian kemiskinan,” kata Ewon.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Kota Belud dan kesemua pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi yang berkongsi keprihatinan untuk membela nasib keluarga miskin.

Dalam lawatan tersebut juga, Ewon menyampaikan sumbangan touchpoints dan pejabat daerah turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur kepada semua keluarga isi rumah yang terlibat.-SabahNewsToday