Pilih Bahasa

Sentiasa fokus ketika memandu, jauhi kemalangan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pengguna jalan raya diseru sentiasa fokus dalam pemanduan dan peka dengan perubahan struktur serta penyelenggaraan jalan raya bagi mengelak menjadi mangsa kemalangan pada musim perayaan ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho berkata terdapat beberapa lokasi di negeri ini sedang dalam proses pembinaan jalan lebuhraya Pan Borneo serta penyelenggaraan jalan rosak.

Datuk Abd Muis Picho merasmikan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Peringkat Negeri Sabah di Puspakom Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya pengguna jalan raya perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dan menitik berat aspek keselamatan kenderaan sebelum memulakan perjalanan untuk keselamatan.

“Kadang ada antara kita jarang pulang ke kampung dan tidak tahu bahawa di kawasan kita ada berlaku perubahan struktur jalan atau ada penyelenggaraan jalan dilakukan jadi kena selalu fokus ketika memandu,” katanya.

Turut hadir pada kempen itu Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah, Janet David.

Datuk Abd Muis Picho ditemui dalam sidang media kempen berkenaan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Peringkat Negeri Sabah di Puspakom Tawau, hari ini.

Katanya peningkatan kadar kemalangan yang direkod pada musim perayaan perlu menjadi iktibar kepada semua untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Saya difahamkan kes kemalangan membabitkan kematian penunggang dan pembonceng motosikal paling banyak direkodkan diikuti pejalan kaki dan penumpang kereta yang tidak memakai tali pinggang kaledar.

“Jadi saya harap semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran untuk menyayangi nyawa diri sendiri, keluarga dan juga orang lain,” katanya.

Abd Muis yang juga wakil rakyat Sebatik berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini Sabah mencatat 4,456 kes kemalangan berbanding 4,499 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Terdahulu, beliau berkata kempen seperti ini diadakan setiap kali menjelang perayaan untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika di jalan raya.-SabahNewsToday