Pilih Bahasa

Sentimen kaum dan agama perlu dielak

Jaujan (tengah) bersama ahli parti pada Majlis Kesyukuran, Angkat Sumpah Jawatan dan Penyerahan Kad Keahlian Warisan Parlimen Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

BEAUFORT: Sayap Pergerakan Wira dan Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) disarankan untuk memahami kepelbagaian budaya, adat resam dan agama dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata amalan saling memahami itu mampu mengelakkan sebarang kejadian seperti sengketa dan prasangka dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Bukan sahaja sayap pergerakan Warisan tetapi juga para pemimpin Warisan perlu bijak dalam menyelami serta memahami kepelbagaian budaya masyarakat Sabah yang berbilang kaum berbanding Semenanjung yang hanya terdiri daripada tiga kelompok kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

“Pemahaman yang jelas mengenai kepelbagaian etnik di Sabah penting bagi memastikan semua peringkat kepimpinan Warisa dapat menghadapi polimik-polimik politik yang gemar mempolitikkan sentimen kaum dan agama,” katanya ketika merasmikan Majlis Kesyukuran, Angkat Sumpah Jawatan dan Penyerahan Kad Keahlian Warisan Parlimen Beaufort di sini hari ini.

Jaujan (empat dari kiri) menyerahkan kad keahlian kepada salah seorang penerima. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

Ketika mengulas mengenai usaha meningkatkan kemudahan awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah itu, Jaujan menjelaskan bahawa beliau berasa sedih kerana sehingga kini Beaufort masih tidak memiliki perhentian bas dan pasar awamnya yang tidak bersih.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kerajaan negeri mahukan semua pasar di 25 PBT berada dalam keadaan yang kondusif serta bersih dan bebas dari bau busuk.

“Kementerian ini sedang dalam proses menurunkan sebahagian kuasa kepada PBT di setiap daerah di Sabah dalam usaha mempercepatkan pembangunan di kawasan masing-masing tanpa perlu merujuk ke pejabat KKTP.

“Di sini Ahli Majlis Daerahnya yang akan dipilih perlulah berwawasan dan mempunyai fikiran bagi memajukan kawasannya,” katanya.

Jaujan turut memberikan jaminan bahawa semua pasar awam di Sabah akan dinaik taraf dan dibersihkan bagi mengembalikan fungsinya sebagai pusat tumpuan umum yang kini diambil-alih pasaraya.

Ketika ditemui, Jaujan menjelaskan kementeriannya akan mengambil perhatian supaya pasar awam di kesemua PBT Sabah diberikan keutamaan dari segi kebersihan dan keselesaan untuk rakyat berkunjung.

“Di sanalah  mereka tempat mencari sumber makanan. Saya yakin setiap daerah sudah wujud pasar awam tetapi masalahnya pemantauan serta pengurusan untuk membersihkan kurang.

“Saya yakin masyarakat terdiri daripada pengguna atau pembeli akan kembali pada pasar awam kerana di sana harga bahan makanannya masih murah dan segar,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu kehilangan para peniaga kecil yang kebiasaan mencari rezeki menjual di pasar awam. – SabahNewsToday