Pilih Bahasa

Seorang lagi suspek kes bunuh ditahan polis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis daerah ini berjaya menahan seorang lagi remaja lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh, di Fajar, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata suspek ditahan pukul 9.10 malam, di Bulatan Udang, Jalan Chen Fook, dekat sini, semalam.

ACP Peter Umbuas. Gambar Fail SNT

“Suspek direman selama seminggu bermula hari ini hingga 19 Jun ini bagi membolehkan polis melengkapkan kes siasatan berkenaan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Peter turut mengesahkan rakaman video seorang remaja membuat pengakuan berhubung kes bunuh berkenaan adalah suspek.

Video berdurasi satu minit enam saat itu tular di media sosial sejak semalam.

Selasa lalu, empat remaja lelaki warganegara Filipina berusia 16 hingga 17 tahun ditahan polis dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki.

Kes pembunuhan itu bermotifkan dendam selepas keempat-empat suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menuduh suspek menjalankan kegiatan mencuri dan meragut.

Mayat mangsa Jaafar Jalman, 49, ditemui di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, dekat sini, pada Isnin. – SabahNewsToday