Pilih Bahasa

SEORANG MURID MAUT, DUA PARAH DIREMPUH PEMANDU MABUK

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang murid perempuan maut manakala dua lagi cedera parah akibat dilanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra dipandu lelaki yang dipercayai mabuk, di Jalan Kampung Tempasuk Dua, kira-kira pukul 6.40 pagi hari ini.

Mangsa, Max Christty berumur 10 tahun, cedera parah di bahagian kepala lalu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh ketika menunggu bas carter ke sekolah di tepi jalan bersama dua lagi mangsa lain.

Ratapan tangisan ibu mangsa melihat sekujur tubuh anaknya yang maut dirempuh ketika hendak pergi ke sekolah. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata dua lagi mangsa yang cedera parah di bahagian kepala berumur enam dan 14 tahun.

Dua orang mangsa tersebut adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk Dua dan seorang lagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Satu Kota Belud.

“Kedua-dua mangsa cedera parah dihantar oleh orang awam ke hospital Kota Belud untuk menerima rawatan dan kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Pihak bomba memeriksa kenderaan digunakan oleh pemandu yang disyaki mabuk dan merempuh murid terbabit. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Mangsa Michelle Marianne David, 14, kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth manakala Maxryona Masdi, 6, dihantar ke Hospital Likas Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya.

“Pemandu Nissan Sentra pula, hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka di bahagian dahi dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaidi berkata siasatan awal di lokasi mendapati pemandu Nissan Sentra dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kg Tempasuk Dua.

Apabila sampai di lokasi pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh ketiga-tiga mangsa di kanan bahu jalan yang sedang menunggu kenderaan untuk ke sekolah.

Lalu, kenderaan tersebut dipercayai terbabas dan terlanggar tepi bahagian konkrit sebuah rumah milik orang kampung.

Pemandu tersebut ditangkap untuk siasatan dan di siasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1952. -SabahNewsToday