Pilih Bahasa

Seorang parah manakala seorang cedera ringan, PMU terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

TENOM: Seorang lelaki parah manakala seorang lagi cedera ringan apabila Pencawang Masuk Utama (PMU) yang mereka baiki terbakar di Kampung Bahagia, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.41 petang itu, mangsa Ahmad Kawi Siman, 54, parah melecur 64 peratus manakala Sabdin Kadir, 52, cedera ringan dan kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Tenom.

PMU yang terbakar. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, jam 3.41 petang.

“Sebuah jentera dengan lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom kemudian dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan PMU yang terbakar 10 peratus dan terdapat dua mangsa termasuk seorang parah ketika melakukan kerja penyelanggaraan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans untuk di hantar ke Hospital Tenom,” katanya menerusi kenyataan media.

Pasukan bomba memeriksa PMU yang terbakar di Kampung Bahagia, Tenom. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat jam 4.15 petang.-SabahNewsToday