Pilih Bahasa

SEORANG WANITA MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI JALAN LAMA PAPAR

Oleh Alfred Petrus

Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba daripada kenderaan tersebut. Gambar SNT/Ehsan Media Sosial

PAPAR: Seorang wanita maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 24 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan jenis Perodua Kancil bersama mangsa, 60, iaitu isteri pemandu dan seorang cucu perempuan pasangan tersebut dalam perjalanan daripada arah Kinarut ke Papar.

Keadaan Perodua Kacil ketika anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa. Gambar SNT/Ehsan Media Sosial

“Siasatan lanjut telah dijalankan oleh pegawai penyiasat di tempat kejadian mendapati kejadian yang berlaku adalah berpunca daripada kenderaan yang dipandu dipercayai telah hilang kawalan ke tepi bahu jalan.

“Dalam pada itu, Kancil tersebut telah bergesel dan melanggar hujung besi penghadang kiri jalan tersebut ketika cuba mengelak sebuah pacuan empat roda yang sedang memotong dari arah bertentangan.

“Perodua Kancil tersebut telah berhenti setelah terlanggar besi penghadang jalan di satu simpang dan besi tersebut menembusi cermin depan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya keterangan awal daripada pemandu, 66, mengatakan, beliau terlihat sebuah kenderaan yang datang dari arah depan laluannya dan menyebabkan pemandu tersebut mengelak ke tepi dengan serta merta dan mengakibatkan kemalangan.

Tambahnya mangsa yang maut iaitu isteri pemandu dan bayi berumur setahun tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Bomba.

“Isteri pemandu tersebut telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Papar.

“Manakala, pemandu Perodua Kancil hanya mengalami cedera ringan dan telah mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Kinarut sebelum rawatan lanjut di Kecemasan Hospital Papar.

“Cucu pemandu tersebut pula dibawa ke unit Kecemasan Hospital Papar dengan menggunakan ambulan. Kemudiannya mangsa yang maut telah dihantar oleh pihak Polis ke Unit Forensik Hospital Papar,” jelasnya.

Batholomew berkata pihaknya menerima panggolan kecemasan tersebut pada pukul 10 pagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya. -SabahNewsToday