Pilih Bahasa

Sepasang kekasih dalang kes samun ditangkap

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tiga kiri) pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis IPD Kota Kinabalu atas kes jenayah samun bersenjata dan pengedaran dadah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sepasang kekasih ditangkap di Taman Inanam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun di sekitar bandaraya sejak empat bulan lalu.

Polis menahan kedua-dua suspek, warga tempatan berumur 28 tahun, pada 27 Oktober yang dikenalpasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa sedang melakukan samun di salah sebuah kedai 24 jam pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis turut menemui sebilah pisau di dalam kenderaan Myvi milik suspek yang digunakan untuk menyamun dua premis perniagaan sebelum ini.

“Kes pertama dilakukan di 7 Eleven Jalan Kebajikan Luyang pada 23 Oktober pada pukul 8.30 malam dan suspek lelaki itu dikatakan mengugut pekerja dan merampas wang tunai RM90.

“Dua hari berikutanya, suspek melakukan samun kedua di kedai yang beroperasi 24 Jam di Jalan Damai Plaza.

“Modus operandi yang dilakukan oleh suspek dalam dua samun yang dilakukan itu adalah sama iaitu dengan menggunakan teman wanitanya sebagai pemandu kenderaan, mengacukan pisau kepada pekerja di kaunter dan merampas wang tunai,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Habibi berkata suspek lelaki tersebut didapati positif syabu selain mempunyai rekod jenayah iaitu dua bulan penjara di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Ka­kisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata.

Dalam pada itu, katanya kes tersebut disiasat mengikut Sekyen 392 bersama 397 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday.