Pilih Bahasa

Sepuluh keluarga asnaf di Pulau Gaya terima sumbangan keperluan Aidiladha dari YDKMM

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) — Sepuluh keluarga asnaf di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini menerima sumbangan barangan persiapan Hari Raya Aidil Adha daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) menerusi program Kitchen for You (K4U) dengan kerjasama Youth of Strength and Happiness (YOSH) dan Food for Hunger Organisation (FFH), semalam.

Pengarah program Muhammad Fazrin Sali dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua keluarga itu dikunjungi oleh 10 sukarelawan YDKMM yang menyampaikan bantuan barangan persiapan Hari Raya Aidil Adha seperti beras, gula dan tepung.

“Untuk program K4U kali ini para sukarelawan yang turut serta menyumbang masa dan tenaga untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penerima dan sebagai persediaan mereka menyamnut hari raya Aidil Adha.

“Kebanyakan orang lain sudah pulang ke kampung untuk persiapan raya tetapi para sukarelawan sanggup korbankan masa dan tidak balik beraya semata-mata untuk membantu para penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata program K4U merupakan penjenamaan semula program Food for Hunger 1.0 yang masih mengekalkan misi asal iaitu memberi bantuan kepada keluarga-keluarga asnaf di Kota Kinabalu dan daerah-daerah lain yang berdekatan pada setiap hari Sabtu.

Beliau setersnya menggalakkan masyarakat awam khususnya belia di Sabah untuk menghubungi mereka menerusi akaun facebook YDKMM Sabah jika berminat menyertai badan sukarelawan berkenaan atau jika ingin ingin menyalurkan bantuan kepada asnaf.

— BERNAMA